Skip to main content
HomeViral

Pinda Undang-undang Perosak Alam Sekitar – Wan Junaidi

By 18 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan pindaan yang dibuat pihaknya terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan menghapuskan had ke atas tindakan yang boleh diambil terhadap perosak alam sekitar.

Beliau berkata sekiranya akta itu tidak dipinda maka pihaknya tidak boleh mengenakan tindakan undang-undang kepada pesalah, kerana tiada peruntukan undang-undang  khas mengenainya.

Jelasnya, kementeriannya hanya boleh mengambil contoh-contoh untuk tujuan ujian bagi mengesan bahan-bahan pencemar susulan isu perlombongan bauksit sebelum ini.

“Kami akan pinda undang-undang dan tangani kelemahan itu, tetapi ia akan mengambil masa.

“Kami mahu lebih banyak kuasa diberikan kepada pihak berkuasa alam sekitar dan hukuman lebih berat kepada mereka yang mencemari alam sekitar dan pindaan itu dapat tangani isu liabiliti ketat,” katanya.

Menurutnya, undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk pihaknya mengambil tindakan  terhadap individu yang disyaki termasuk pemandu lori dan syarikat perlombongan.

Katanya, pihaknya telah merangka satu kertas kerja bagi memastikan semua aktivti perlombongan bauksit selamat dan tidak menyebabkan pencemaran air serta udara.

“Kami mencadangkan rangka kerja itu kepada negeri (Kerajaan Pahang),perlombongan bijih bauksit kini tidak dilakukan dengan betul.”

Jelasnya lagi, kaedah perlombongan yang betul tidak dipraktikkan segelintir pihak di mana tanah perlu dikeluarkan serta diganti selepas penggalian dilakukan.

“Ini tidak diikuti, tetapi perkara itu terletak di bawah bidang kuasa negeri.

“Kerajaan Persekutuan hanya boleh memberi bantuan atau campur tangan dalam isu tanah, apabila diminta oleh kerajaan negeri,” katanya lagi.

Sebelum ini, Wan Junaidi mengumumkan semua aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Kuantan, Pahang dihentikan selama tiga bulan mulai 15 Januari bagi membolehkan pelan tindakan penyelesaian pencemaran dilaksanakan.

Beliau berkata, pada bulan pertama, kerajaan mengarahkan supaya semua stok simpanan bauksit di Pelabuhan Kuantan dikeluarkan dan dibersihkan.

“Pada bulan kedua pula, semua stok bauksit yang ada di 11 pusat pengumpulan mesti dikeluarkan dan akan dihantar ke satu pusat pengumpulan saja yang akan diumumkan kemudian,” katanya.

 

Tinggalkan komen anda