Skip to main content
Berita TempatanSabah

12 Qari, Qariah Rebut Gelaran Johan MTQ Peringkat Negeri

By 26 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Zuraidah Ahmad, Azman Jumat & Saiful Rahman Sabri (Sabah)

KENINGAU, 26 Feb (Malaysiaktif) –? Seramai enam qari dan enam qariah memperdengar bacaan masing-masing malam tadi, bagi  memburu gelaran johan sekaligus mewakili Sabah ke Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1437H/2016M.

Kebanyakan para qari dan qariah yang bertanding ternyata bukan calang-calang peserta memandangkan ramai di antara mereka juga mempunyai rekod kejohanan negeri seawal tahun 1991.

Pada majlis itu, perhatian penonton tertumpu kepada persembahan juara bertahan yang mewakili Bahagian Tawau iaitu Abdullah Abd Wahid dengan qariah gandingannya, Hajah Siti Hatijah Marsuki.

Abdullah merupakan Johan Terbaik Negeri selama enam tahun iaitu pada tahun 2003, 2004, 2007, 2008, 2009 dan 2010 manakala Siti Halijah pula merai Johan Terbaik Negeri pada tahun 1999, 2001 dan 2002.

Turut mencuri pandangan, mantan Johan Negeri Terbaik pada tahun 2013 dan 2015, Afizan Wangkee dan Faridah Ag Tengah mewakili Bahagian Pantai Barat Selatan.

Sementara itu, Johan Negeri Terbaik 2013, Zunaidi @ Ady Misdaranai dan qariah, Ahmah @ Asmah Yassin yang  mewakili Bahagian Pantai Barat Utara tampak semakin yakin dalam mendepani muka-muka baharu seperti wakil Bahagian Sandakan iaitu qari, Syariansyah Apin dan qariah, Maimunah Ashim.

Paling membanggakan, anak kepada bekas Johan Terbaik Negeri pada tahun 1996, Nabila Shafawati Sapari kini menurut jejak ayahnya, Sapari Naim dipilih sebagai qariah mewakili Bahagian Pedalaman Atas.

Namun, kebangkitan semula qariah, Halipah Manchu juga tidak boleh dipandang ringan.

Beliau pernah merangkul Johan Negeri Terbaik pada tahun 1991, 1997 dan 2006 bersama qari, Sagap Musram kini mewakili Bahagian Pedalaman Bawah.

Qalau bagaimanapun, kehebatan para qari dan qariah dinilai oleh Jemaah Hakim dianggotai seramai 13 orang  yang diketuai Pegawai Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), Haji Omar Haji Pg Gana.

Beliau turut dibantu tiga hakim tajwid, tiga hakim tarannum, tiga hakim fasahah dan tiga hakim suara termasuk hakim undangan dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Bahagian penghakiman mengikut wajaran iaitu tajwid 40 markah, tarannum 25 markah, fasahah 20 markah dan suara 15 markah.

Bertemakan “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”, majlis tilawah pada tahun ini dijangka sambutannya akan lebih meriah menjelang malam kemuncak.

Keputusan serta majlis penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman bermula jam 7.30 malam di Dewan Masyarakat, esok.

Justeru, masyarakat setempat amat dialu-alukan hadir menyaksikan serta mengimarahkan majlis ilmu berkenaan.

Tinggalkan komen anda