Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurRencana & PendapatViral

Amaran Serangan Di Malaysia: Kenapa Tidak London, New York?

By 24 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Anuar Ibrahim (Kuala Lumpur)

Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyelar Australia ekoran sebaran umum dan khusus tentang kebarangkalian berlaku serangan pengganas di Malaysia.

Beliau kecewa dengan tindakan Australia itu kerana Malaysia sejak sekian lama berkongsi maklumat risikan berkaitan rangkaian pengganas di seluruh dunia dengan negara lain, termasuk Australia sendiri.

Rasa kesal dan tercuit termasuk sesetengah dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri. Ini kerana hakikatnya berapa banyakkah insiden serangan pengganas yang pernah berlaku di Malaysia berbanding insiden dahsyat, seperti di London, New York, Australia, Turki dan lain-lain negara? Memandangkan kekerapan berlaku serangan di lokasi-lokasi tersebut agak menghairankan mengapa Malaysia dipilih untuk menonjolkan amaran?

20160222160437

Ketua Polis Negara mengumumkan pelancaran ‘Ops Ledak’ di Pavilion, Kuala Lumpur semalam.

Apa yang dilakukan oleh Australia dalam bentuk kenyataan amaran itu lebih ironik memandangkan kerajaan bersetuju menubuhkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (RDC3)  yang bakal beroperasi  pada 1 Mei depan.

Pusat yang dibangunkan dengan kos RM200 dalam usaha memerangi keganasan global berpaksi penyebaran fahaman radikal melalui Internet ini akan berfungsi untuk memerangi penyebaran ideologi dan propaganda kumpulan militan. Idea tersebut tercetus setelah Amerika Syarikat memilih negara ini atas komitmen kita untuk menangani ancaman keganasan global dan jenayah rentas sempadan.

RDC3 bukan sahaja akan digunakan oleh Malaysia, tetapi juga oleh negara-negara ASEAN serta Australia dan New Zealand.

Secara spesifik, iniatif penubuhan RDC3 adalah hasil perbincangan di antara Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi pada awal Oktober tahun lalu bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry yang berakhir dengan pengesahan bahawa pusat berkenaan akan dibangunkan di Malaysia.

Sementara itu, pihak berkuasa melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengatur strategi untuk mengadakan rondaan bersama 24 jam di lokasi tumpuan awam disertai oleh 170 anggota tentera dan 170 anggota polis.

Khalid berkata demikian semalam semasa pelancaran ‘Ops Ledak’ yang merupakan rondaan bersama PDRM dan ATM di pusat membeli-belah Pavilion.

‘Ops Ledak’ antara lain bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat dan pelancong tentang tahap keselamatan di ibu kota negara berikutan serangan pengganas di Jakarta baru-baru ini.

 

 

Tinggalkan komen anda