Skip to main content
HomeRencana & Pendapat

Daesh Ciptaan Zionis Untuk Burukkan Imej Islam

By 29 Februari 2016Tiada komen4 minit bacaan

 

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Serangan kumpulan militan Negara Islam (IS) atau  ‘Daulah Islamiyyah Iraq dan Syam’ (Daesh) di ibu kota Indonesia, Jakarta pada Januari lalu telah meningkatkan komitmen negara ASEAN untuk mempertingkatkan rangkaian kerjasama memerangi pengganas Daesh. Malaysia turut berwaspada dan meningkatkan kesiapsiagaan dan kawalan keselamatan ke tahap yang tinggi di seluruh negara, khususnya di Sabah bagi memastikan insiden serupa tidak berlaku di negara ini. Kesiapsiagaan ini bukan sahaja tertumpu kepada kekuatan ketenteraan dan polis, malah usaha memperkukuh kefahaman rakyat mengenai radikalisme dan ekstremisme melampau turut diberi penekanan. Antara langkah terbaru diambil kerajaan ialah menubuhkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (RDC3) yang bakal beroperasi 1 Mei depan.

Penubuhan RDC3 membuktikan komitmen kerajaan membendung ancaman fahaman radikal Islam yang disebarkan menerusi alam siber atau internet.  Selain Malaysia, ia turut ditubuhkan  di Abu Dhabi, UAE yang dikenali sebagai Pusat Sawab (Jalan yang Benar). Selain memantau penyebaran ideologi dan propaganda kumpulan militan menerusi alam maya, pusat ini juga akan menyalurkan maklumat dan fakta konsep jihad dan syahid yang sebenar, nilai perpaduan dan kasih sayang, toleransi  agama dan lain-lain kepada masyarakat.

Kempen kesedaran mengenai penyelewengan dan bahayanya perjuangan Daesh adalah penting supaya rakyat, terutamanya golongan muda tidak mudah terpengaruh dan terjebak dengan perjuangan ekstremis itu. Justeru, inisiatif yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pertumbuhan Ahli Sunah Wal Jemaah Malaysia (ASWAJA) bagi melatih penceramah untuk menjelaskan kepada masyarakat berkaitan ancaman militan Daesh adalah satu inisiatif yang baik.

Sesiapa sahaja yang terjebak dengan perjuangan ekstremis ini pasti psikologi dan mindanya akan didoktrinkan dengan ideologi ekstremis itu. Mereka yang menyertainya akan diikat dengan konsep al-Wala’ (kesetiaan atau ketaatan) yang akhir membentuk ketaksuban sehingga sanggup melakukan apa sahaja walaupun dengan cara keganasan. Anak muda yang menyertai kumpulan Daesh akan ditanamkan dengan semangat dan konsep jihad yang menyeleweng dari ajaran Islam.

Mereka sanggup menghalalkan nyawa dan harta benda orang lain kerana mereka beranggapan orang yang menentang perjuangan mereka adalah kufur dan boleh dibunuh. Mereka sebenarnya mendukung ideologi ‘takfiri‘ (mengkafirkan orang lain) yang berasal dari ajaran Khawarij. Tokoh Daesh, Abu Muhammad al-Adnani telah mengkafirkan tentera Mesir, Pakistan, Afghanistan, Tunisia, Libya, Yaman dan yang lainnya. Malah, beliau telah mengkafirkan para ulama yang menentang perjuangan mereka.

Syaikh Ali Hassan al-Halabi dalam bukunya ISIS, Khilafah Islamiyyah atau Khawarij? (terj. Pustaka Iman As’Syafi’i, 2015) menyebut bahawa perjuangan kumpalan itu amat menyeleweng dari ajaran Islam. Menurut al-Halabi,  kumpulan terbabit memiliki emosi dan keperibadian yang tidak terkawal sehingga mendorong mereka melakukan reaksi melampaui batas-batas kemanusiaan. Mereka adalah kumpulan yang tidak suka melakukan dialog ilmiah dan tidak ada komunikasi dengan ulama menyebabkan kelompok Khawarij moden itu berada dalam kesesatan dan tidak mahu bertaubat.

Islam sepatutnya disebarkan dengan cara yang penuh hikmah, bijak dan melalui contoh teladan yang baik. Maksud ayat 126, Surah al-Nahl: “ Serulah manusia kepada jalan Rabbmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya, Rabbmu, Dialah yang lebih mengetahui siapakah yang lebih sesat dari Jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapakah yang mendapat petunjuk”. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bersikap lemah lembut, dan jauhi sikap kasar dan kotor dalam perkataan dan perbuatan” (riwayat Al-Bukhari).

Hakikatnya, perjuangan kumpulan militan Daesh itu amat bercanggah dengan ajaran Islam kerana Islam yang diajarkan Nabi Muhammad SAW menjamin kedamaian, keselamatan dan kesejahteraan sejagat. Namun, sejak munculnya kumpulan Daesh muncul di tengah-tengah pergolakan politik Irak dan Syiria, kumpulan itu dilihat menjalankan operasi perjuangannya dalam manhaj yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Konsep jihad yang dibawanya juga jauh menyimpang dari konsep jihad sebenar. Daesh dilihat dahagakan darah dan melakukan jenayah pembunuhan. Mereka membunuh sewenang-wenangnya, memusnahkan warisan budaya kawasan yang ditawan dan membunuh kejam sesiapa yang menentangnya. Mereka mengangkat diri sebagai khalifah dan mewajibkan semua orang Islam mentaatinya secara mutlak. Maut menanti kepada sesiapa yang enggan mentaatinya.

Daesh langsung tidak mempertimbangkan aspek ‘maslahat’ dan ‘mafsadat’ sedangkan aspek ini termasuk kaedah fikih yang penting. Akhirnya jadilah kumpulan itu  sama seperti Khawarij, Mutazilah, Rafidhah dan lain-lain. Ia boleh dianggap kumpulan taghut kerana antara pengertian taghut. Antara pengertian taghut ialah orang yang bersikap melampaui batas. As-Syahid Qutb menjelaskan antara perkara yang termasuk dalam pengertian taghut itu ialah ideologi dan pemikiran yang melampau yang tidak berasaskan kepada ajaran yang diwahyukan oleh Allah SWT.

Daesh adalah ciptaan dan permainan Zionis Israel. Edward Snowden, mantan pegawai Badan Keamanan Nasional (NSA) Amerika Syarikat (AS) menyebut bahawa  Islamic State of Iraq and Syria (ISIS) merupakan organisasi yang dibentuk dengan kerjasama inteligen tiga negara, iaitu Israel, AS dan British. Justeru, tidak hairanlah pemimpin Daesh, Dr. Ibrahim Awwad al-Badri atau dikenali sebagai Abu Bakar Al Baghdadi sendiri pernah mendapat latihan ketenteraan sepenuhnya dari Mossad, badan perisikan Israel.

Malah, Al Baghdadi juga mengikuti kursus teologi dan retorika dari badan intelijen Zionis itu. Bagi Zionis Israel, kemunculan Daesh diharapkan akan memperpanjang ketidakstabilan di rantau Asia Barat, khususnya di negara-negara Arab supaya kepentingan Israel tidak diganggu gugat oleh negara-negara Arab.

Tinggalkan komen anda