Skip to main content
HomeViralWilayah Persekutuan

“Raja Gelek” M.Daud Kilau Selamat Keluar Hospital

By 17 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 17 Feb (Malaysiaaktif) — “Raja Gelek” Datuk Muhammad Daud Bin Kilau, yang lebih dikenali dengan nama M. Daud Kilau, menerima positif dakwaan bahawa beliau telah meninggal dunia semasa menjalani rawatan di hospital.

“Alhamdulillah, Allah masih memberi umur yang panjang dan saya doakan agar pemfitnah itu sentiasa sihat”, ujarnya.

Menurut penyanyi veteran berusia 77 tahun itu, dia tidak sabar untuk membuat persembahan semula dan rindu untuk memakai baju berkelip-kelip yang menjadi imejnya setiap kali membuat persembahan.

Sementara itu, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang diketuai oleh Datuk Freddie Fernandez telah menziarahi beliau di Hospital Selayang dan menyampaikan sumbangan tengah hari tadi.

“Karyawan menziarahi Datuk M.Daud Kilau untuk melihat keadaan kesihatan beliau serta menyampaikan sedikit sumbangan agar beliau tabah menghadapi penyakit yang dihadapinya,” katanya.

Mengulas tentang pihak yang membuat fitnah terhadap penyanyi tersebut, Freddie berharap agar pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pemfitnah media sosial yang tidak sensitif dan tidak menghormati pesakit serta ahli keluarga mereka.

Menurut menantunya,  Datuk Hassan Ahmad, bapa mentuanya dimasukkan ke Hospital Teluk Intan pada 3 Januari kerana penyakit prostat dan dipindahkan ke Hospital Selayang pada 15 Januari sebelum dibenarkan keluar 3 Februari lepas.

“Namun pada 15 Februari, ayah masuk semula ke Hospital Selayang untuk membuat pembedahan penyakit prostat dan hari ini dibenarkan keluar hospita,” tambah Hassan.

Tambahnya, kesihatan bapa mentuanya kini 90 peratus pulih cuma sedikit masalah semasa membuang air kecil serta perlu memakai tiub. Pembedahan kedua dijadualkan pada 29 Februari ini.

 

Tinggalkan komen anda