Skip to main content
HomeViral

UTM Cari Kaedah Mantap Bahasa Inggeris Dalam Kalangan Guru

By 6 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

JOHOR BAHARU, 6 Feb  — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sedang menjalankan kajian untuk mengenal pasti kaedah terbaik bagi memperkasakan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru sekali gus memantapkan penggunaannya dalam kalangan murid.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kajian yang meliputi program ‘Training The Trainer’ itu sedang dalam peringkat akhir perbincangan dengan UTM dan akan diumumkan kelak.

“Kita berpendapat penguasaan bahasa Inggeris itu sangat penting selain sebagai bahasa global.

“Oleh itu, anak-anak kita harus menguasainya kerana kita tidak mahu mereka ketinggalan serta terlepas peluang segala pembangunan kelak,” katanya di sini.

Mohamed Khaled berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangasaan Taman Rinting Dua, di sini hari ini.

Menerusi program ‘Training The Trainer’ yang akan dianjurkan UTM itu, guru akan dibantu dalam mempertingkatkan kemahiran dan kepakaran mereka yang kemudiannya akan disalurkan kepada murid.

“Dengan peningkatan kemahiran guru menerusi modul yang bakal diadakan itu, ia diharapkan dapat menyumbang kepada matlamat kita,” kata Mohamed Khaled sambil menambah modul berkenaan tidak akan mengganggu modul pembelajaran sedia ada.

Beliau berharap kajian berkenaan dapat menemui kaedah terbaik dan berkesan untuk mendidik murid sekolah supaya dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Penguasaan bahasa Inggeris dilihat antara keperluan generasi muda dalam menempuh dunia globalisasi dan pembangunan akan datang, katanya.

 

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda