Oleh Mastika Hablum & Noraidah Mat Seh (Melaka)
MELAKA, 23 Feb (Malaysiaaktif) – Berikutan fenomena viral di media sosial yang semakin meluas, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka menganjurkan satu program kesedaran ViRAL16 (Voice is Raised Anonymously) di Dewan Taming Sari, UiTM Melaka pagi tadi.
Program kerjasama dengan Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) ini diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-15 CFM serta penubuhan 10 tahun FKPM.
Program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.
ViRAL16 yang pertama kali diadakan ini bertujuan untuk mewujudkan platform bagi perbincangan dan perkongsian idea tentang isu-isu yang dihadapi oleh pengguna media sosial selain dapat meningkatkan pemahaman dalam fenomena viral di Malaysia.
“ViRAL16 diharap dapat membuka minda kita, khususnya golongan belia yang merupakan kumpulan demografik pengguna media sosial terbesar di Malaysia,” kata Rektor UiTM Melaka, Profesor Madya Dr Mohd Adnan Hashim.
Program ini menampilkan para penceramah yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam media sosial antaranya Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan; Personaliti TV, Suhaimi Sulaiman dan Selebriti Instagram yang juga merupakan alumni FKPM, Faiz Dickie.
“Kami sangat berbesar hati dan bangga dapat bekerjasama dengan FKPM, UiTM Melaka yang memberikan kami peluang berinteraksi dengan salah satu kumpulan ‘kuasa pengguna’ di kalangan pengguna majoriti,” kata Pengerusi CMF, Megat Ishak Ma’amunor Rashid.
Ribuan pengunjung hadir dan turut mengambil bahagian dalam pelbagai acara menarik dan program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran peserta mengenai isu-isu berkaitan dan mengetengahkan impak media sosial terhadap memperkasakan pengguna dalam industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.