Skip to main content
HomeViral

JALSOA Kecam Bar Council Mahu Bahas Peguam Negara

By 17 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 17 Mac — Persatuan Pegawai-pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA) mengecam tindakan Badan Peguam Malaysia untuk membahaskan usul mendesak Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali meletakkan jawatan pada Mesyuarat Agung Tahunan Badan itu Sabtu ini.

Jawatankuasa Eksekutif JALSOA dalam kenyataan akhbar hari ini, berkata tindakan Badan Peguam Malaysia itu seolah-olah mempertikaikan proses perundangan yang telus seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut jawatankuasa itu, sekiranya usul itu diteruskan, ia boleh dilihat sebagai mengganggu perlaksanaan kuasa dan budi bicara Peguam Negara seperti yang diperuntukkan mengikut Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Tindakan Badan Peguam Malaysia itu telah mengundang rasa tidak puas hati kepada Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan yang merupakan sebahagian daripada institusi perundangan negara ini yang berperanan melaksanakan tugas-tugas menegakkan keadilan dan melindungi kedaulatan undang-undang di negara ini dan mengecam tindakan Badan Peguam Malaysia itu.

“Selaras dengan Perkara 15 (1) Perlembagaan JALSOA, satu Mesyuarat Agung Luar Biasa akan diadakan bagi membahaskan usul antaranya menolak usaha campur tangan dan tekanan oleh mana-mana badan lain termasuk Badan Peguam Malaysia dalam urusan institusi Peguam Negara untuk melaksanakan kuasa dan budi bicara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata jawatankuasa itu.

Mesyuarat Agung JALSOA akan diadakan pada 30 Mac ini.

Pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-70 itu, Badan Peguam Malaysia juga akan membahaskan usul meminta Peguam Cara Negara melaksanakan peranan sebagai Pendakwa Raya dalam kes-kes berprofil tinggi berikutan Badan Peguam Malaysia berpendapat Peguam Negara tidak lagi layak untuk bertindak sebagai Pendakwa Raya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda