Oleh Mazlina Abdul Aziz (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 12 Mac (Malaysiaaktif) — Warga kota daripada golongan berpendapatan rendah di sini hari ini berpeluang mendapatan pelbagai barangan keperluan harian secara percuma di “Pasar Bebas” (Free Market) yang diadakan di perkarangan Masjid Amru Ibni Al As, Bandar Baru Sentul.
Pasar ini merupakan iniasiatif kemasyarakatan Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (Ansara) Balik Pulau bersama Komuniti 1Malaysia (K1M) Bandar Baru Sentul Perdana.
Sebanyak 30 gerai disediakan kepada penyumbang yang berdaftar setelah mendapat maklumat dari Facebook, Whatsapp dan saluran media sosial lain.
Selain pakaian, barangan lain, termasuk permainan kanak-kanak, barangan keperluan harian, makanan, minuman, dan produk farmasi turut disediakan, termasuk perkhidmatan SPA dan rawatan pergigian percuma.
Sementara itu, Ketua Cawangan Ansara Balik Pulau, Amir Redza Mohd Tajudin berkata “Pasar Bebas” ini pertama kali dianjurkan oleh mereka kerana sebelum ini mereka hanya membuat program bersama anak anak yatim, orang kurang upaya serta memberi motivasi dan bantuan kepada gelandangan. Tambah beliau, Ansara Balik Pulau menyasarkan program kemasyarakatan setiap bulan di sekitar Kuala Lumpur.
Seorang penyumbang kepada “Pasar Bebas” ini, Teresa Nyigor berkata program ini amat baik dan perlu diteruskan kerana dengan cara ini ia dapat membantu meringankan beban mereka yang berpendapatan rendah, sekali gus mengembirakan penyumbang yang ingin berbakti kepada masyarakat.
Pengerusi Masjid Amru Ibni Al As merangkap Pengerusi K1M Bandar Baru Sentul Perdana, Datuk Abdul Razak Husain berkata program yang mendapat sambutan dari NGO dan orang ramai ini akan diteruskan pada masa akan datang kerana ia dapat menzahirkan perpaduan dan membantu masyarakat tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, budaya.