Skip to main content
Berita UtaraKedahViral

Panas Ekstreme Bukan Hanya Disebabkan Fenomena Ekuinoks

By 18 Mac 2016Mac 20th, 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Muhammad Rizal Redzuan (Alor Setar)

ALOR SETAR, 18 Mac (Malaysiaaktif) — Cuaca panas ekstrem yang dijangka berlaku pada 20 Mac ini di beberapa kawasan di Malaysia bukan disebabkan hanya oleh fenomena ekuinoks.

Menurut Pengarah Jabatan Meteorologi Kedah, Rosli Zakaria, rujukan itu tidak berapa tepat kerana Malaysia tidak berada betul di atas garisan khatulistiwa, tetapi berada lima darjah daripada  garisan tersebut.

Oleh yang demikian, beliau berkata Malaysia akan berada dalam situasi ekuinoks pada 27 Mac.

Negara ini pernah mencatatkan suhu paling panas 40.1° Celcius (104.2°Fahrenheit) di Chuping, Perlis pada 1998 yang berlaku seminggu selepas ekuinoks.

Rosli memberitahu wartawan Malaysiaaktif  semalam bahawa ekuinoks bukan penyumbang kepada cuaca yang lebih panas kerana setiap tahun suhu tertinggi di Malaysia direkodkan seminggu selepas ekuinoks.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Kedah, Nur Syafeenatul Alfda Haji Rosli pula berkata, pada ketika ini Malaysia berada di penghujung musim monsun timur laut yang membawa taburan hujan lebat pada permulaannya, iaitu dari Oktober hingga Disember tahun lepas.

 

nur

Nur Syafeenatul Alfda : pada ketika ini Malaysia berada di penghujung musim monsun timur laut.

 

Menurut beliau, pada penghujung musim ini, apabila berlaku peralihan ke monsun barat daya, hujan akan berkurangan dan suhu meningkat. Kebetulan pada tahun ini, penghujung monsun timur laut bertembung dengan fenomena El Nino, iaitu kesan  peningkatan suhu di Lautan Pasifik hingga menyebabkan kemarau, cuaca kering dan panas.

Nur Syafeenatul Alfda berkata jabatan Meteorologi Kedah hanya memantau dan menyukat suhu di tiga kawasan, iaitu di Kepala Batas, Langkawi dan Chuping.  Buat masa ini, jabatan tersebut menggunakan satu alat Sistem Cuaca Automatik (AWS) untuk menyukat suhu dengan dibantu sukatan manual menggunakan termometer.

420cafc2-081a-4444-a774-e200a3227023

Catatan Harian suhu di negeri Kedah yang dilakukan oleh Jabatan Meteorologi.

Monsun barat daya dijangka berlaku dari Jun hingga September ini dan membawa hujan lebat ke kawasan pantai barat semenanjung Malaysia.

 

Tinggalkan komen anda