Skip to main content
HomeViral

Pengetahuan Perang Gurun Beri Kelebihan Kepada Malaysia – PM

By 3 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

RIYADH, 3 Mac — Setelah mengasah kemahiran di dalam perang hutan, Malaysia bakal mendapat pengetahuan bernilai di dalam perang gurun menerusi penglibatannya dalam latihan ketenteraan di utara Arab Saudi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri Malaysia itu berkata ancaman keselamatan sekarang ini boleh muncul di dalam pelbagai persekitaran dan keadaan.

“Kita perlu berupaya untuk bertindak di dalam pelbagai persekitaran seperti di gurun dan bandar, kedua-duanya yang kita belum masak lagi, kata Najib kepada wartawan Malaysia pada Rabu malam, mengakhiri lawatan kerja beliau ke Arab Saudi sejak 29 Feb lepas.

Beliau berkata keupayaan angkatan tentera Malaysia tertumpu kepada perang hutan sejak beberapa tahun dahulu.

Terdahulu pada siangnya Najib melawat sekumpulan angkatan tentera Malaysia yang terlibat di dalam latihan ketenteraan “Thunder of the North” di kawasan latihan Hafar Al Batin. Ia melibatkan 20 negara.

Najib berkata latihan ketenteraan itu sangat berguna, kerana ia akan menyumbang kepada peningkatan saling kendali ketenteraan dalam kalangan negara Islam.

“Kita mempunyai saling kendali dalam konteks Perjanjian Pertahanan Lima Kuasa (FPDA) dan negara tertentu di ASEAN tetapi kita tidak ada kemampuan ini dalam kalangan negara Islam,” kata Perdana Menteri. FPDA melibatkan Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom.

“Penglibatan kita di dalam latihan ini menggerakkan kita hampir kepada keupayaan ini, saya kira tepat pada masanya berdasarkan perkembangan semasa,” katanya mengenai latihan Thunder of the North yang diterajui Arab Saudi.

Najib berkata usaha Arab Saudi yang menghadapi masalah gerakan militan, dalam memastikan keamanan dan keselamatan terpelihara perlu disokong. “Arab Saudi adalah sebuah negara yang penting kepada orang Islam, maka kita perlu menyokongnya dan salah satu cara ialah dengan menyertai latihan ketenteraan ini,” kata Najib.

Selain daripada sebagai satu isyarat jelas perpaduan dalam kalangan 19 negara Islam yang menyertainya dan Arab Saudi, ia juga merupakan satu platform untuk mengukuhkan perpaduan di dalam dunia Islam itu sendiri, kata beliau.

“Adalah penting untuk kita memastikan negara Islam yang bersependapat terus mengukuhkan kerjasama dalam menghadapi dan menangani sebarang ancaman kepada dunia Islam,” katanya.

Najib dijadualkan berlepas dari Arab Saudi pagi Khamis.

 

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda