Skip to main content
Berita TempatanSabah

Tun Juhar Terima Kunjungan Aman Palestin, PENDARAH

By 7 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Muniyamma a/p Marapen & Shahvian Muhammad Razali (Sabah)

KOTA KINABALU, 7 Mac (Malaysiaktif) –? Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menerima kunjungan hormat rombongan Aman Palestin Berhad Cawangan Sabah diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ustaz Awang Suffian Awang Piut di Istana Negeri, pagi tadi.

Kunjungan bertujuan untuk memaklum dan membincangkan mengenai aktiviti badan itu sepanjang tahun ini, di Sabah.

Antaranya ialah Golf Amal Untuk Palestin yang akan diadakan pada bulan April dan Karnival Al-Aqsa Di Hatiku akan dilaksanakan di Sandakan dan Tawau pada 24 dan 25 Mac ini.

Menurut Awang Suffian, program tersebut dijalankan  bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada mangsa – mangsa perang di Palestin.

“Setiap bulan kita adakan pelbagai aktiviti seperti program kemasyarakatan untuk memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Sabah khususnya dalam membantu dan menjaga hak – hak kemanuasian kepada golongan yang masih lagi dijajah dan dianiya hingga hari ini.

“Selain itu, kita juga merancang untuk mengadakan program – program besar, karnival serta pelbagai program pada bulan ramadan dan Majlis Makan Malam Amal.

“Aman Palestin mempunyai 18 cawangan di seluruh Malaysia termasuk tiga cawangan di Sabah iaitu di Kota Kinabalu, Tawau dan Labuan dengan kekuatan enam orang staf yang dibantu oleh para  sukarelawan yang sentiasa bekerjasama untuk menjayakan program – program yang dirancang,” katanya.

Terdahulu, Tun Juhar menerima kunjungan hormat Presiden Persatuan Penderma Darah Negeri Sabah (PENDARAH), Taufick Ruschi dan rombongan.

Jelas Taufick, persatuan itu   mengambil beberapa langkah untuk memberi kesedaran dan kepentingan derma darah kepada orang ramai dalam usaha membantu pesakit – pesakit yang sangat memerlukan darah seperti ibu bersalin, anak yang dilahirkan dengan penyakit kuning, para pesakit talesemia, mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalanraya, pembedahan dan para pesakit buah pinggang.

“Sepanjang tahun ini, kita merancang 24 aktiviti Kempen Derma Darah di setiap daerah di seluruh Sabah bagi membantu pesakit pesakit yang memerlukan.

“Sebagai perbuka tahun 2016, pada bulan Januari yang lalu kita berjaya mengadakan kempen tersebut di Hospital Queen Elizebeth, Keninggau, Beufort, Tawau dan Sandakan,” tambahnya.

 

Tinggalkan komen anda