Skip to main content
Berita TempatanSabah

Belia Keningau Anjur Derma Darah Pertama

By 5 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

 Oleh: ?Wenny Di Tian Soh (Sabah)

KENINGAU, 5 Apr (Malaysiaktif) –? Kelab Belia Keningau berjaya menganjurkan kempen derma darah pertama melalui gerakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) selama sehari di Tapak Pasar Malam pada Ahad lepas.

Menurut Pengerusi Kelab Belia Keningau, Rafie Robert, penganjuran ini bagi membantu unit Perubatan Transfusi Hospital yang menghadapi kekurangan bekalan darah.

“Kami rasa terpanggil untuk menyedarkan masyarakat terhadap kelebihan sebagai penderma seterusnya tampil menderma kerana sedar kepentingan sumbangan darah bagi menyelamatkan nyawa.

Tambahnya, gerakan kempen ini turut dijalankan secara bersepadu melalui pendekatan NBOS bersama pelbagai pihak seperti Pejabat Daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Daerah, Hospital, Jabatan Kesihatan, Jabatan Penerangan, Kelab 1Malaysia, KeningauFM, KDCA Keningau/Sook, KDCA YOUTH COUNCIL, SAFA Keningau, Keningau FC, Dracone Paintball Club, Pejabat Perhubungan Parlimen Keningau dan UMNO Bahagian Keningau.

Sementara itu, Penolong Pegawai Penerangan, Unit Perubatan Transfusi Hospital, Ainah Liman, berkata, kempen ini penting untuk memberi pendedahan kepada orang awam bagi membantu pesakit terutama pesakit Talasemia.

Katanya, seramai 152 pesakit Talasemia telah direkodkan di daerah berkenaan dan merupakan daerah kedua tertinggi di Sabah.

Jelasnya lagi, pelbagai manfaat akan diberikan antaranya penderma akan menerima rawatan pesakit luar serta rawatan perubatan di wad kelas tertentu selama tempoh tertentu berdasarkan rekod kekerapan menderma secara percuma.

“Ujian kesihatan secara berkala turut diberikan kepada penderma bagi memantau tahap kesihatan penderma sebelum proses pengambilan darah dijalankan,” ujarnya.

Turut hadir Pegawai Protokol Daerah Keningau, Yamin Karinong, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superitendan Douglas Nyeging Taong, Robert Tawik, Pengerusi KDCA Keningau, pemimpin-pemimpin masyarakat dan ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri Daerah Keningau.

Tinggalkan komen anda