Skip to main content
Home

‘Jom Baca Untuk 10 Minit’ Di Wisma Bernama

By 26 April 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Fauziah Hussain / Sumber Foto : PNM

KUALA LUMPUR, 26 Apr (Malaysiaaktif) – Program ‘Jom Baca Untuk 10 Minit’ di Lobi Wisma Bernama semalam berjaya mengumpulkan penyertaan seramai 170 orang petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Program serentak seluruh negara ini, seiring dengan Hari Buku dan Hak Cipta Dunia. Inisiatif program ini merupakan tanggungjawab sosial korporat Bernama dalam usaha mempromosikan budaya membaca dalam masyarakat.

Pengurus Pusat Maklumat dan Perpustakaan Berita Bernama, Hasnita Ibrahim ketika ditemui berkata, program ini diharap dapat menggalakkan budaya membaca dalam kalangan petugas Bernama. Tambahnya lagi, kepentingan membaca perlu kerana boleh dilakukan di mana-mana dengan pelbagai bahan bacaan.

 

20160425175529 (1)

 

Terdahulu pada 23 Mac lepas, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari telah melancarkan Bank Buku Kempen 3B bagi sesiapa yang ingin menyumbang bahan bacaan untuk didermakan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama, Mikail Raj Abdullah berkata Kempen 3B yang menggalakkan minat membaca menerusi sumbangan bank buku ini, akan diteruskan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di MAEPS Serdang pada 29 April hingga 9 Mei ini.

Program ini dirasmikan isteri Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) merangkap Penaung Kempen 3B ‘Baca Bersama Bernama’,Datuk Raya Erom. Inisiatif program ini adalah dengan kerjasama antara Kementerian Pendidikan, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia dan Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) sebagai acara tahunan bertujuan menyemai budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

 

-DK

Tinggalkan komen anda