Oleh Norizah Jadid, Edawati Sulaiman dan Azhar Abu Yazid (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 11 Apr (Malaysiaaktif) – Peranan komuniti sangat penting sebagai mata dan telinga kerajaan. Walaupun sebagai badan sukarela, namun peranan dan tanggungjawab dimainkan adalah penting dalam membantu menyalurkan maklumat kerajaan kepada masyarakat dan menyampaikan maklumat masyarakat kepada saluran kerajaan demi untuk kebaikan komuniti dan kesejahteraan anak-anak pada masa akan datang.
Demikian dinyatakan Kadir Husin, Pengerusi Komuniti 1Malaysia (K1M) AU3 dalam Program Info Parlimen Setiawangsa hari ini.
Antara aktiviti menarik adalah persembahan bercerita dan tarian berkaitan penjagaan gigi oleh maskot gigi dan persembahan T. Baton oleh 20 orang anggota polis wanita.
Datuk Ahmad Fauzi Zahari, Ahli Parlimen Setiawangsa dalam ucapan menyatakan bahawa amat penting kesejahteraan, keharmonian dan perpaduan masyarakat setempat dikekalkan tanpa sebarang pergolakan. Malah sikap tolak ansur, berfikiran positif dan tidak cepat melatah atas tindakan yang diambil oleh kerajaan kerana setiap tindakan yang dibuat adalah demi kebaikan bersama.
Sempena dengan program tersebut juga, beliau meraikan Hari Polis ke 209 bersama Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supritendan Mohamad Roy Suhaimi dan 45 orang pegawai-pegawai polis IPD Wangsa Maju melalui acara memotong pulut kuning.
Program Info K1M AU3 anjuran Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Setiawangsa dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Cawangan Setiawangsa bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara pemimpin dan masyarakat khususnya penduduk komuniti 1Malaysia di AU3.