Oleh: Mohd Baharruddin bin Mohamad (Sarawak)
KUCHING, 11 Apr (Malaysiaaktif) – Berbekalkan semangat “Agi Idup Agi Ngelaban”, tuan rumah Sukan Malaysia ke-18, Sarawak menyasarkan untuk menjadi juara keseluruhan.
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Haji Amar Morshidi Abdul Ghani, atlet negeri telah menunjukkan pencapaian baik setelah berlatih sejak dua tahun lepas dan kami ingin menjadi juara seperti kali pertama menjadi tuan rumah pada 1990.
Morshidi yang mewakili Menteri Pembangunan Sosial Negeri, Tan Sri William Mawan ditemui semasa sidang media upacara kiraan detik 100 hari menjelang SUKMA ke-18 di Kuching Sentral semalam.
SUKMA merupakan temasya yang terbesar dan berprestij di negara ini yang dipertandingkan secara dwi-tahunan bagi tujuan mencungkil bakat-bakat baharu atlet yang berpotensi tinggi untuk mewakili negara.
SUKMA ke-18 akan berlangsung pada 22 hingga 30 Julai ini dengan menghimpunkan lebih 9000 atlet yang akan bertanding dalam 24 acara yang turut melibatkan Brunei Darussalam.
Tambahnya, peruntukan sebanyak RM350 juta untuk membuat kemudahan bagi stadium di Kuching, Sibu dan Miri.
Majoriti acara akan diadakan di Kuching, Sibu pula menjadi hos kepada sukan badminton dan bola tampar sementara karate, sepak takraw dan layar akan diadakan di Miri.
Sementara itu, SUKMA ke-17 telah dimenangi oleh Wilayah Persekutuan selepas mengumpul 55 pingat emas, 38 perak dan 49 gangsa.
SF