Skip to main content
Berita TempatanSabah

“Pembakaran Terbuka, Tindakan Tegas akan Diambil,” Rosnah

By 4 April 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 Oleh: Zuraidah Ahmad & Johny George Kimlon (Sabah)

PAPAR, 4 Apr (Malaysiaktif) –? Masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka terutama semasa cuaca kering dan panas akan dikenakan tindakan tegas.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin memberi amaran itu dan meminta pihak berkenaan menguat kuasa peraturan serta mengambil tindakan ke atas si pelaku.

Katanya, pembakaran seumpama bukan sahaja menjejaskan kualiti udara, malah mengancam kesihatan dan merosakkan keindahan alam sekitar.

Ketika ini, kata Rosnah, daerah itu antara kawasan yang banyak terlibat dengan kes-kes kebakaran hutan, ladang dan tapak pertanian khususnya di sekitar Kimanis dan Bongawan.

Menyentuh tentang persiapan menghadapi musim kemarau, Rosnah menjelaskan penghantaran bekalan air ke kawasan terjejas telah bermula sejak dua minggu lalu.

“Kebanyakan kawasan terjejas ialah kawasan yang penduduknya bergantung sepenuhnya kepada air graviti,” ujarnya.

Dalam usaha mendepani masalah kekurangan bekalan air secara total, Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata pihaknya masih dalam perbincangan dengan Pejabat Daerah untuk mengenal pasti bantuan pemasangan paip air.

Rosnah berkata demikian selepas merasmikan Rail Run Papar 2016 di Padang Pekan semalam.

Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah menunjukkan jumlah kebakaran terbuka berlaku di daerah Papar sepanjang Mac ialah 144 kes manakala 21 kes dicatatkan pada 1 hingga 3 April.

Situasi ini menghasilkan jerebu hingga mengakibatkan berlaku kemalangan jalan raya disebabkan penglihatan pemandu yang terhad.

Tinggalkan komen anda