Oleh: Zuraidah Ahmad (Sabah)
PAPAR, 4 Apr (Malaysiaktif) –? Pemimpin yang berkaliber perlu memiliki ciri-ciri positif dalam dirinya untuk diiktiraf sebagai seorang pemimpin.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin berkata pemimpin yang baik bukan lahir dengan sendiri tetapi diperoleh melalui latihan berterusan, pengalaman mahupun ilmu.
“Semua orang boleh menjadi pentadbir, tetapi bukan semua boleh menjadi pemimpin.
“Dalam usaha menjadi pemimpin berkesan, individu itu harus menguasai tiga kemahiran iaitu konseptual, taktikal dan hubungan kemanusiaan.
“Kemahiran konseptual merupakan kemahiran menganalisis, berfikir secara logik, kreatif dalam menjana idea dan penyelesai masalah.
“Turut diperlukan, kemahiran taktikal iaitu kemahiran berkaitan kaedah, prosedur dan teknik menjalankan aktiviti khusus serta kebolehan menggunakan peralatan dalam pelaksanaan aktiviti.
“Bakal pemimpin juga perlu menguasai kemahiran hubungan kemanusiaan iaitu kemahiran berkomunikasi yang berkesan serta memahami perasaan dan sikap orang lain,” katanya ketika berucap merasmikan Kem Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar SMK Takis di salah sebuah lokasi percutian, di sini semalam.
Rosnah yang juga Ahli Parlimen mengucapkan tahniah atas kejayaan SMK Takis yang meraih 100% kelulusan dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) dengan Gred Purata 2.71 tahun lalu.
Pelajar terbaik STPM ialah Lum Kah Yan dan Christyal Gayle Jidy masing-masing memperoleh keputusan 3.67.
Manakala, bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah itu juga mencipta rekod apabila beberapa pelajar memperoleh 9A 1B dan 8A 1B. Antaranya, Farzana Mahali yang mendapat Gred Purata Individu 1.33.
Menyentuh perihal Kem Kerjaya, Rosnah menyifatkan usaha berkenaan amat signifikan bagi meningkatkan kualiti pendidikan, peningkatan kendiri, selain sebagai persiapan para pelajar menjadi pemimpin terbaik pada masa depan.