Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

PM Laksana Pencegahan Banjir Jika BN Menang Batu Kawah

By 28 April 2016Tiada komen2 minit bacaan
Oleh Mohd Borhan Ahmad Ulis (Sarawak) / Foto: Abdul Hafiz Itam

KUCHING, 28 Apr (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memberi jaminan bahawa sebuah pelan pencegahan banjir akan dilaksanakan jika pengundi Batu Kawah mengundi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Sim Kui Hian dalam Pilihan Raya (PRN) Sarawak ke-11.

Najib berkata demikian ketika merasmikan Balai Raya Kampung Desa Wira, Batu Kawah, di sini malam tadi.

Beliau yang dalam rangka kerja rasmi ke negeri ini berkata BN di peringkat persekutuan dan negeri sejak dulu lagi bekerjasama erat dalam membangunkan Sarawak.

“Tidak seperti pihak pembangkang yang hanya pandai menabur janji dan hanya melihat sahaja permasalahan yang dihadapi rakyat” kata Najib.

“Pihak pembangkang sering kali memainkan isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk mempengaruhi rakyat membenci kerajaan. Namun sudah 160 negara melaksanakannya untuk meningkatkan pelan pembangunan,” jelas Najib.

 

2

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, perolehan cukai sedia ada negara tidak mampu untuk menampung perbelanjaan pengurusan negara.

“Dengan hasil yang dikutip melalui GST itulah projek Pan Borneo yang merupakan hadiah kepada rakyat negeri ini dapat dilaksanakan,” jelasnya lagi.

Najib turut menyeru semua pengundi di kawasan tersebut supaya menilai sendiri apa yang telah dilakukan oleh kerajaan persekutuan dalam membantu memajukan lagi negeri ini.

“Jika kita hendakkan sesuatu perubahan dalam sebuah kawasan kita haruslah memilih sebuah kerajaan yang kuat untuk menjadikan impian kita tercapai. Bukannya hanya bermimpi sahaja seperti laungan pihak pembangkang dengan slogan Impian Sarawak,” kata Najib.

Beliau menambah pihak pembangkang kini sudah menampakkan perpecahan. Eenam kerusi DUN menyaksikan pertembungan sesama sendiri iaitu antara Democratic Action Party (DAP) dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Bagi kita (BN), persepakatan telah dibuat antara komponen parti BN. Tidak timbul soal perebutan kerusi DUN dan ini menjadikan kita bersatu hati dalam memberikan khidmat kepada rakyat,” tambahnya.

Najib yang digelar sebagai Apai Besai Malaysia oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata adalah mudah untuk merencanakan pelan pembangunan sekiranya kedua-dua pihak berada dalam sebuah pasukan yang sama.

“Seperti yang kita sedia maklum, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sedang dalam perbincangan tentang soal penurunan kuasa selaras dengan perlembagaan. Sebagai contoh, menjelang tiga tahun dari sekarang, 90 peratus tenaga guru yang berkhidmat di Sarawak merupakan anak tempatan,” kata Najib.

Justeru, Najib menyeru kepada pengundi di kawasan Batu Kawah supaya memberikan peluang kepada Pasukan Adenan untuk meneruskan agenda pembangunan di negeri ini.

Tambahnya, Dr. Sim seorang yang jujur dan tidak pandai menipu seperti calon pembangkang di kawasan ini.

“Dr. Sim merupakan Presiden Parti Sarawak United Peoples Party (SUPP). Jadi sebagai sebuah parti komponen BN adalah menjadi kelaziman bagi kita membantu parti komponen BN yang lain dalam membangunkan kawasan,” ujar Najib.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Haji Shukri dan Residen Kuching, Shukarmin Chasemon.

 

– SF/AAS

Tinggalkan komen anda