Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Tun Abdul Ghafar simbol Perjuangan UMNO – PM

By 24 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka / Foto Hj Mohd Noor Samion

MELAKA, 24 Apr (Malaysiaaktif) – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar merupakan tokoh yang menjadi simbol kepada perjuangan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) sehingga ke hari ini kerana beliau tidak pernah memandang jawatan sebagai perkara penting dalam perjuangannya.

Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika majlis Bacaan Tahlil dan Doa Sempena 10 Tahun Pemergian Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba di Memorial Tun Abdul Ghafar Baba, Peringgit semalam.

“Abdul Ghafar menunjukkan ketaatan kepada pemimpin, kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi kepada UMNO dan ketulenan manifestasi prinsip perjuangan UMNO,” katanya.

Tambahnya, anggota UMNO perlu mencontohi nilai ketaatan, kesetiaan dan ketulenan kepimpinan Tun Abdul Ghafar Baba di samping mengingati pesanan pemimpin terdahulu yang mahukan generasi sekarang memikul tanggungjawab mempertahankan parti keramat orang Melayu itu dan bukannya meninggalkan atau mengkhianati parti.

Najib juga bersedia untuk memberikan peruntukan untuk membina semula Memorial Tun Abdul Ghafar Baba di tapak sama bagi memperingati dan menjadikan perjuangan Abdul Ghafar sebagai panduan generasi masa kini.

Tun Abdul Ghafar yang merupakan anak kelahiran Negeri Sembilan menjadi Timbalan Perdana Menteri dari 10 Mei 1986 hingga 15 Okt 1993 dan juga Ketua Menteri Melaka dari 1 Jun 1959 hingga 5 Okt 1967.

Turut hadir pada majlis itu ialah rakan-rakan Allahyarham, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob; bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda