Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

FAMA Komited Wujud MyFarm Outlet Semua Negeri

By 11 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 11 Mei (Malaysiaaktif) — Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bakal mewujudkan MyFarm Outlet di setiap negeri tahun ini dengan peruntukan sekurang-kurangnya RM10 juta.

Menurut Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin, inisiatif itu akan dilaksanakan di kawasan miskin bandar supaya dapat mengurangkan kesusahan rakyat yang berpendapatan rendah.

“Hampir semua negeri sudah ada bangunan untuk premis ini, namun kita mahu wujudkan bangunan baharu di lokasi yang belum ada. Di sini misalnya, kita akan buka di Melaka Tengah dan Insyaallah mula beroperasi pertengahan tahun ini,” katanya.

Beliau turut menyarankan semua penternak, petani dan nelayan supaya berurusan terus dengan FAMA bagi memastikan hasil mereka dijual dengan harga pasaran dan berpatutan.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Persaraan Pegawai FAMA dan Anugerah Khidmat Amat Setia peringkat zon selatan membabitkan Johor, Melaka dan Negeri Sembilan bagi meraikan 19 pekerja yang akan bersara daripada pertubuhan itu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak dan Pengarah FAMA negeri, Mohd Nawi Othman.

MyFarm Outlet pertama dibuka di Putrajaya selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan inisiatif itu pada pembentangan pengubahsuaian Bajet 2016, 28 Januari lalu.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda