Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Geng Muin Diberkas, Selesai Enam Kes Samun di Melaka

By 4 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 4 Mei (Malaysiaaktif) – Geng Muin yang aktif melakukan 15 kes jenayah samun di sekitar Melaka sejak lima bulan lepas diberkas dalam beberapa siri penangkapan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka, pada Isnin.

Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din berkata kumpulan ini telah memecah masuk kediaman seorang pegawai kerajaan yang terletak di Taman Pengkalan Jaya, Melaka Tengah dan mengambil beberapa barangan berharga dan wang tunai.

Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan pada 6.00 pagi apabila pasukan polis terserempak dengan kereta Proton Iswara yang berada dalam keadaan yang mencurigakan berhampiran Taman Merdeka, Batu Berendam.

“Suspek cuba untuk melarikan diri ketika pemeriksaan dibuat. Pihak polis berjaya menahan Muin bersama tiga pengikutnya dan hasil pemeriksaan mendapati pelbagai barangan berharga dipercayai hasil rompakan ditemui,” ujar Ramli ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Melaka petang tadi.

Dua jam selepas tangkapan pertama dibuat, pihak polis berjaya menangkap empat lagi Geng Muin dalam sebuah kereta di kawasan yang sama.

Sejam kemudian, tujuh orang anggota geng tersebut diberkas dalam tangkapan ketiga di sebuah rumah pangsa yang terletak di Taman Cheng Ria dan pelbagai barangan turut dirampas.

“Pihak polis juga berjaya menemui rumah sewa geng tersebut yang terletak di Taman Merdeka, Batu Berendam. Pelbagai barangan yang dijumpai tersembunyi di semak dipercayai akan digunakan apabila ingin melakukan jenayah,” katanya.Geng Muin 2

Antara barang yang ditemui ialah parang, pisau, sebatang besi, pemutar skru dan sarung tangan. Jumlah keseluruhan rampasan yang dibuat berjumlah RM80,000.

Menurut Ramli, 15 orang penjenayah yang ditangkap ini memasuki negara sebagai pekerja kontrak dan berumur dalam lingkungan 20-an hingga 40-an. Namun, 10 daripada 15 penjenayah itu tidak memiliki dokumen perjalanan dan telah direman tujuh hari bermula semalam.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata. Siasatan masih berjalan secara agresif untuk mengesan anggota Geng Muin yang masih bebas.

Sementara itu, dalam kes yang berasingan, seorang warga Nepal ditahan kerana membuat laporan palsu pada Ahad lepas.

Dia diaporkan telah ditahan oleh empat orang anggota polis yang menggunakan kenderaan jenis MPV dan wang berserta telefon bimbitnya diambil.

Selepas siasatan lanjut, dia mengaku telah mabuk dan bergaduh bersama rakan-rakan dan terpaksa membuat laporan palsu agar tidak dimarahi majikan dan menghantarnya pulang ke negara asal.

-DZ/SF

 

Tinggalkan komen anda