Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeViral

RELA Sarawak Bakal Terima Pusat Latihan Pertama-Najib

By 4 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

 Oleh: Diyana Zamri / Foto: Saiful Rahman Sabri

KUCHING, 4 Mei (Malaysiaaktif) – Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sarawak hari ini menerima berita gembira apabila sebuah kawasan telah diluluskan sebagai Pusat Latihan RELA pertama di Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan perkara tersebut ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama RELA di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), petang tadi.

“Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem telah meluluskan sekeping tanah seluas 38 ekar [untuk] buat Pusat Latihan RELA di kawasan Sematan,” kata Najib.

Pemberian tanah tersebut menandakan penantian anggota RELA di Sarawak untuk mempunyai pusat latihan sendiri berbaloi.

Menurut Pengarah RELA Sarawak, Rini Tupong, ini merupakan satu berita gembira buat anggota RELA Sarawak.

“Sarawak merupakan satu-satunya kawasan yang tiada Pusat Latihan. RELA mempunyai empat pusat latihan Wilayah termasuk di Sabah. Tetapi, tidak di Sarawak. Sebelum ini, tiada tempat yang tetap untuk kami berlatih. Latihan akan dibuat di sekolah, dewan masyarakat dan sebagainya,” jelas Rini.

Tambah Rini, dia berharap agar pembinaan Pusat Latihan tersebut akan dapat dipercepat bagi meningkatkan kecekapan lebih 341,000 anggota RELA di Sarawak.PM RELA  BCCK 1

Sementara itu, Najib turut mengumumkan pemberian peruntukan kepada RELA Sarawak bagi membeli pakaian seragam sebanyak RM10 juta tahun ini, dan RM10 juta lagi tahun hadapan. Pengumuman ini disambut dengan sorakan lebih 12,000 anggota RELA.

Simbolik penyerahan Pakaian Operasi Digital (POD) RELA, Penyampaian Insurans Berkelompok RELA dan Penyampaian Sumbangan Bakti RELA turut diadakan pada majlis yang sama.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dan Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Datuk Kamariah Mohd Noah.

Terdahulu, Najib, Zahid dan menteri-menteri tersebut menghadiri Mesyuarat Kabinet Persekutuan di Wisma Bapa, Kuching.

RELA mempunyai empat pusat latihan iaitu di Pusat Latihan RELA Malaysia di Sungai Udang, Melaka, Pusat Latihan RELA Wilayah Utara di Bukit Selambau, Sungai Petani, Pusat Latihan RELA Wilayah Timur di Kuala Berang, Hulu Terengganu dan Pusat Latihan RELA Wilayah Sabah di Tuaran, Kota Kinabalu.

SF

 

 

Tinggalkan komen anda