Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

Kolej Komuniti Jelebu Perintis PROSIS

By 22 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Nurul Akmal Zainuddin (Negeri Sembilan)

JELEBU, 22 Mei (Malaysiaaktif) – Kolej Komuniti Jelebu telah menjadi kolej komuniti pertama di Malaysia yang mempunyai Kelab Program Siswa Sihat (PROSIS) dan yang ketiga di Negeri Sembilan.

Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Haji Jalaludin Haji Alias ketika melancarkan Kelab PROSIS Kolej Komuniti Jelebu semalam.

Tambahnya, PROSIS merupakan satu inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memperkasakan amalan hidup sihat dalam kalangan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Dengan konsep “Daripada Siswa, Melalui Siswa, Untuk Siswa”, ahli kelab akan menjadi agen kesihatan yang perlu menguasai lima elemen cara hidup sihat iaitu melakukan aktiviti fizikal, makan secara sihat, tidak merokok, memupuk minda sihat dan sihat tanpa alkohol.

“Seterusnya mereka akan mengajar rakan-rakan untuk menjadikan cara hidup sihat sebagai budaya kolej,” tambahnya yang merupakan Pengerusi Ahli Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Jelebu.

Program anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Jelebu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dan Kolej Komuniti Jelebu ini telah dimulakan dengan senamrobik, “Jom Berjalan 10,000 Langkah” selain aktiviti berbasikal sejauh 3km. kolej komuniti

Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Jelebu, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Md. Kasim Jaafar, mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan atas kepercayaan menjadikan Kolej Komuniti Jelebu sebagai perintis Kelab PROSIS.

Beliau juga berharap kolej komuniti lain terutamanya kolej komuniti di Negeri Sembilan akan turut sama mewujudkan kelab ini.

Bagi Penyelaras Kelab PROSIS Kolej Komuniti Jelebu Wan Nor Azlinda Abdul Razak pula semua ahli kelab diharap mendapat manfaat menyeluruh seperti kesihatan fizikal, kecergasan fikiran, kesejahteraan emosi dan psikologi.

Turut diadakan saringan kesihatan, skyrunner, zumba, pertandingan memasak, pertandingan gubahan bunga dan senamrobik.

SF

Tinggalkan komen anda