Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Masjid Jannatul Firdaus Simbolik Kemajuan Masyarakat Islam

By 5 Mei 2016Tiada komen1 minit bacaan

Oleh: Ninie Gumbang

LIMBANG, 5 Mei (Malaysiaaktif) – Dengan  kos lebih RM12 juta, pembinaan Masjid Jannatul Firdaus sebagai pusat kerohanian dan pembangunan intelektual merupakan simbolik kemajuan masyarakat Islam di utara Sarawak.

Menurut Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, membina sebuah masjid bukanlah hanya untuk menunjukkan hasrat untuk memajukan agama tetapi mempunyai satu makna yang lebih besar iaitu mahu masyarakat kita maju.

“Dalam konteks ini tidak cukup hanya orang Islam sahaja yang bekerjasama untuk memajukan perkembangan rumah ibadah, tetapi harus ada kerjasama dan perpaduan semua kaum,” tambah beliau.

Taib berkata penubuhan Majlis Islam sejak merdeka merupakan manifestasi pembangunan Islam sekali gus memelihara kebajikan umat Islam di negeri ini.

“Peranan masjid perlu diperluas bagi pembangunan umat Islam sekali gus mengulangi  kegemilangan zaman Islam terdahulu,” jelas beliau ketika merasmikan Masjid Jannatul Firdaus di bahagian Limbang semalam.

Terdahulu Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Haji Awang Tengah Ali Hasan memberitahu Masjid Jannatul Firdaus telah siap dibina pada 21 April 2011 yang mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan.

Menurut Awang Tengah, pembinaan masjid ini membuktikan komitmen kerajaan untuk membantu masyarakat Islam untuk menjalankan aktiviti kerohanian.

“Kerajaan juga turut membantu dalam pembinaan rumah-rumah ibadat lain seperti gereja, kuil dan sebagainya untuk tujuan memberi kemudahan kepada rakyat menjalankan aktiviti keagaamaan,” jelas Awang Tengah lagi,

SF

Tinggalkan komen anda