Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

MTAQ – Cungkil Bakat Kesenian Islam Pelajar Pendidikan Khas

By 16 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 11 Mei (Malaysiaaktif) – “Majlis tilawah dapat menjadi platform terbaik khususnya untuk pelajar mendalami Al Quran manakala nasyid dan khat juga dapat mencungkil bakat mereka dalam bidang kesenian Islam. Ini [merupakan] sebahagian daripada warisan yang perlu kita pertahankan bersama.”

Demikian ucapan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Negeri Melaka, Datuk Wira Haji Md. Yunos Haji Husin dalam Majlis Perasmian Tilawah Al-Quran (MTAQ) Peringkat Kebangsaan 2016 di Politeknik Merlimau Melaka, tadi.

Terdapat lima acara yang dipertandingkan iaitu Pertandingan Tilawah Al-Quran, Hafazan Surah-Surah Al Quran, Tulisan Khat Jawi, Azan Subuh, Bercerita Kisah Nabi dan juga pertandingan mewarna untuk kanak-kanak istimewa ini.

MTAQ 4

Menurutnya, program hari ini bukan sahaja sekadar mengejar kejayaan tetapi turut memberi peluang kepada kanak-kanak istimewa mengambil bahagian dalam pelbagai bidang ko-akademik yang disediakan.

“Penyertaan sebegini akan memberi faedah dalam pembangunan sahsiah murid melalui proses sosialisasi dengan memberi murid peluang berinteraksi di antara satu sama lain selaras dengan matlamat asas pendidikan,” ujarnya.

MTAQ 2

Tambahnya, seperti murid normal yang lain, murid-murid berkeperluan khas juga mempunyai hak yang sama, keinginan untuk berjaya serta semangat untuk mencapai sesuatu kejayaan.

“Adalah diharapkan melalui program ini bakat mereka dapat dicungkil, diasah dan seterusnya dikembangkan,” kata Md. Yunos.

Seramai 700 peserta termasuk guru pengiring dan kakitangan Jabatan Pendidikan seluruh negara terlibat dalam tahun ke-13 penganjuran program ini.

Melaka merangkul johan dalam tiga kategori yang dipertandingkan iaitu acara mewarna kategori perempuan yang dimenangi oleh adik Nur Fatihah Rosli, acara hafazan kategori lelaki yang dimenangi oleh adik Ahmad Nur As Mansur, lirik terbaik nasyid dimenangi oleh Mohd. Razali Sahari manakala mendapat tempat ketiga untuk acara nasyid berkumpulan.

-DZ

Tinggalkan komen anda