Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurWilayah Persekutuan

Pertandingan Pidato, Pengisahan Serlah Kematangan Peserta

By 16 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Oleh Fauziah Hussain (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Malaysiaaktif) – “Ini merupakan penyertaan pertama kali saya dalam program Pertandingan Pidato 1Malaysia”, kata Mohd Rafee Mohamad, 28 anak kelahiran Johor  setelah dinobat sebagai johan Pertandingan Pidato Kenegaraan peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), semalam.

Beliau yang bertugas di Kementerian Pelajaran berkata,”Persediaan baik, tidak gugup pentas dan kekuatan ‘soft skills’ menjadi penyebab utama kejayaan ini.”

Mohd Rafee memilih tajuk pidato ‘Memperkasa Modal Insan Ke Arah Negara Maju’ berharap dapat mengulangi kejayaan sama di peringkat kebangsaan dengan memantapkan momentum persembahan serta kemas kini bahan maklumat.

Manakala Kumpulan 3 Satria berjaya menjadi johan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia dengan tajuk ‘Malaysia Boleh’.

Pengarah Penerangan WPKL, Mohd Taib Ubah dalam ucapan perasmian berkata, “Peserta kali ini dilihat mantap dan bijak berhujah mengenai dasar dan polisi Kerajaan”.

Tambah beliau, “Jika jati diri bangsa tidak kental, padu dan kukuh maka ia akan mudah goyang oleh unsur-unsur negatif”.

Pidato dan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia adalah program tahunan anjuran Jabatan Penerangan bertujuan memberi penjelasan dan penerangan tentang dasar-dasar kerajaan di samping menanamkan semangat patriotik dan jati diri bangsa.

Seramai lima peserta pidato dan tiga kumpulan pengisahan mengambil bahagian, dan dihadiri hampir 300 orang penonton di Auditorium Arkib Negara, Jalan Duta Kuala Lumpur.

Johan Pidato menerima  wang tunai RM1,500, piala pusingan dan hadiah iringan manakala Johan Pengisahan menerima RM3,000, piala pusingan dan hadiah iringan. Kedua-dua johan ini akan mewakil WPKL ke peringkat kebangsaan pada bulan Julai dan September nanti.

Turut hadir ke program ini adalah Ketua Seksyen Teknologi Maklumat, Jabatan Arkib Negara, Nor Aizan Mahidin dan 3 Juri Pertandingan diketuai Ariah Judah dari Ibu Pejabat Jabatan Penerangan Malaysia.

 

-DK

Tinggalkan komen anda