Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Selamatkan Mangsa Kebakaran, ‘Hero Bomba’ Terima Penghargaan

By 17 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Keberanian menyelamatkan seorang wanita yang terperangkap dalam kebakaran pada 11 April lepas, Ikram Yusof, 31 menerima penghargaan dalam Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2016 pagi tadi di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil.

Pada 11 April lalu, Ikram yang kebetulan lalu di kawasan Taman Seri Paya Rumput 2 bergegas ke tempat kejadian setelah melihat kepulan asap. Melihat seorang wanita terperangkap di balkopni tingkat atas rumahnya, Ikram bertindak memanjat bumbung rumah jiran wanita itu dan membuka ruang jeriji dengan menggunakan cangkul lalu menyelamatkan mangsa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Nazili Hj Mahmood berkata, masih ada ahli masyarakat yang sanggup berkorban nyawa untuk menyelamatkan jiran mereka dan ini yang sangat diharapkan iaitu peranan masyarakat, walaupun tidak dapat menyelamatkan mangsa tetapi dapat memadamkan kebakaran di peringkat awal sebelum ketibaan bomba.

“Sebab itu pihak bomba merancang untuk memberi kesedaran khususnya kepada masyarakat tentang bagaimana kita hendak bertindak di peringkat awal dengan tujuan untuk membudayakan keselamatan kebakaran walaupun ini bukan sesuatu yang mudah,” ujarnya.

Tambah Nazili, terdapat beberapa agensi telah mewujudkan Emergency Response Team (ERT) yang akan bertindak apabila berlakunya kebakaran di peringkat awal bagi mengelakkan kecelakaan yang lebih besar.

Menurut perangkaan, bagi empat bulan pertama 2016, balai bomba daerah telah menerima 2,337 panggilan untuk aduan kebakaran, penyelamatan dan juga tugas-tugas khas. Taksiran kerugian yang direkodkan mencecah RM9 juta manakala taksiran yang diselamatkan berjumlah RM433 juta.

Bagi statistik kebakaran terbuka pula, jumlah pada empat bulan pertama 2016 meningkat berikutan fenomena El-Nino yang melanda negara dan sebanyak 1,521 bilangan kes direkodkan berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya iaitu 956 kes.

Bomba 2

 

Sementara itu, JBPM Melaka akan mengadakan beberapa program sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Peringkat Negeri Melaka antaranya Tahlil dan Bacaan Yassin, Khutbah Jumaat, Majlis Kempen Derma Darah, Balai Terbuka dan Program Gotong Royong.

Pihak media dan rakan strategik jabatan juga turut menerima penghargaan dalam majlis pagi tadi kerana sentiasa membantu dan bersama untuk menaikkan imej jabatan.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda