Skip to main content
HomeKelantan

Asyraf Wajdi : Akta 355 Tiada Kaitan Dengan Hudud

By 13 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh : Nur Shafira Bt Mat Hussin (Pasir Puteh)

PASIR PUTEH, 13 Jun (Malaysiaktif) – “Seperti cacing kepanasan tatkala cadangan pindaan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian untuk meminda Akta 355 dibawah bidang Kuasa Mahkamah Syariah ingin dibentangkan.”

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pindaan Akta 355 tiada kaitan dengan hudud, ia memberi penekanan dalam memperkasa bidang perundangan Mahkamah Syariah yang sekian lama tidak dipinda berbanding Mahkamah Sivil yang sentiasa berubah berdasarkan keperluan semasa.

“Sebagai contoh dalam aspek penghukuman, kuasa Mahkamah Syariah hanya terhad kepada denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tiga tahun atau enam kali sebatan atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut, dan hukuman ini tidak selari dengan Mahkamah Sivil yang sentiasa berubah mengikut keperluan masyarakat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Khatam Al-Quran Dewan Undangan Negeri Gaal di Madrasah Kemudu Bongkok di sini.

 

Para peserta program yang terdiri daripada golongan ibu berjaya khatam Al-Quran biarpun baru tujuh hari menyambut Ramadan

Sebahagian daripada peserta khatam Al-Quran

 

Program tersebut mengumpulkan seramai 150 peserta  yang berjaya khatam Al-Quran 30 juzuk yang terdiri daripada kaum ibu.

Sementara itu, Asraf berkata Kerajaan Malaysia begitu komited untuk memperkasakan Pembangunan Islam.

“Dalam memastikan semua rakyat di Malaysia memahami bahawa Islam adalah agama persekutuan, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan bagi memberi kefahaman sepenuhnya supaya tidak ada isu atau perasaan tidak puas hati timbul di kalangan rakyat Malaysia.

“Banyak dugaan dan cabaran yang dihadapi oleh kepimpinan negara dalam memastikan Islam kekal berdaulat sebagai agama persekutuan di Malaysia, dan hakikat Islam sebagai agama persekutuan adalah tidak boleh dipertikaikan kerana sudah termaktub dalam perlembagaan,” ujarnya lagi.

Tambahnya, beliau menghargai usaha untuk menyemarakkan Islam dengan pengisian berfaedah sepanjang Ramadan.

“Khatam Al-Quran bukan semata-mata mempunyai tujuan untuk khatam Al-Quran sahaja malah sebagai salah satu cara menghidupkan rumah ALLAH  iaitu masjid dan madrasah serta mengeratkan jalinan ukhuwah antara masyarakat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Asyraf berkata  semua umat Islam harus memartabatkan Islam dan berhenti bergaduh sesama sendiri walaupun berbeza fahaman politik.

 

-SH

Tinggalkan komen anda