Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Bot Tambang Meriahkan Promosi SUKMA 2016

By 21 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Mohd Baharruddin bin Mohamad

KUCHING, 21 Jun (Malaysiaktif) – Hanya tinggal 30 hari sahaja lagi Bumi Kenyalang akan menjadi tuan rumah bagi Sukan Malaysia XVIII (SUKMA ke-18).

Pelbagai promosi dan publisiti telah giat dilakukan di seluruh Malaysia untuk memberitahu orang awam berkenaan sukan berprestij negara itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Promosi dan Publisiti SUKMA Sarawak 2016, Abang Sardon Haji Abang Hashim, sebanyak 10 buah perahu tambang juga tidak ketinggalan dijadikan sebagai tempat untuk mempromosikan SUKMA kali ini.

“Ada 10 buah perahu tambang yang berpengkalan di Boyan, Gersik, Sg. Bedil, Kampung Lintang dan Kampung Tanjung telah dipasangkan kain rentang SUKMA 2016 bagi tujuan promosi.

“Kerjasama daripada pihak perahu tambang katanya sangat menggalakkan dan mereka berdoa supaya Sukma kali ini berjalan dengan sempurna dan berjaya demi nama baik Bumi Kenyalang. Semangat dan komitmen perlu ada daripada semua pihak untuk menjayakan SUKMA 2016,” jelasnya.

Sementara itu, menurut salah seorang empunya perahu tambang, Abdul Wahad Hasbi, 53 yang berasal dari Kampung Tanjong, Kuching, apabila sudah siap dipasang, hatinya mula bersemangat dan gembira kerana diberitahu perahunya dipilih untuk mempromosikan SUKMA 2016.

“Di samping itu, perahunya nampak cantik kerana hiasan warna-warni yang dibuat,” ujarnya.

Selain perahu tambang, menurut Abang Sardon, pihak jawatankuasa promosi dan publisiti juga meletakkan iklan tersebut di 10 buah bas ekspres dari Kuching ke Miri dan Sibu, lima buah van dan lima buah pancuan empat roda.

Upacara Pembukaan Rasmi SUKMA ke-18 akan diadakan di Stadium Sarawak, Petra Jaya Kuching pada 23 Julai ini manakala Majlis Penutupan akan diadakan di tempat yang sama pada 31 Julai depan.

SF