Oleh : Siti Meriam Mohamad (Bachok)
BACHOK, 21 Jun (Malaysiaktif) – Kejadian paip bocor di Bandar Bachok, di sini bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya didakwa hampir setiap bulan kejadian sama berulang di bandar ini.
Seorang peniaga di pasar besar Bachok, Syed Ahmad Syed Alwi, 50, berkata, paip pecah menyebabkan bandar Bachok digenangi air sehingga paras buku lali serta penduduk di situ terputus bekalan air.
“Kami yang berniaga di pasar ini terpaksa mengangkut air dari madrasah berdekatan yang menggunakan gerudi air bawah tanah untuk kegunaan harian,” ujar beliau ketika ditemui Malaysiaaktif.
Menurutnya, kejadian ini sering berlaku di tempat yang sama walaupun kakitangan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) telah membaikinya selepas menerima aduan.
“Saya mahu pihak AKSB mengambil tindakan dengan segera dalam usaha menangani masalah ini dan menambahbaik penggantian paip-paip lama untuk mengelak masalah paip bocor dan pecah berlaku lagi,” katanya lagi.
Sementara itu, Penyelia AKSB, Mohd Noor Mat Diah berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada penduduk tersebut berkenaan paip pecah berhampiran tanah perkuburan Bandar Bachok.
Katanya, masalah ketiadaan bekalan air adalah disebabkan tekanan air tinggi menyebabkan paip yang lama pecah dan bandar Bachok digenangi air.
“Kerja-kerja penambahbaikan sedang dilakukan, dan AKSB telah menukar paip simen Asbestos (AC) kepada paip Polyvinyl Chloride (PVC) di setiap tempat yang mengalami kebocoran serta melibatkan enam orang pekerja, “ jelasnya lagi.
Tambahnya lagi, AKSB sedaya upaya mempercepatkan kerja-kerja penambahbaikan, dan meminta penduduk bersabar.
-SH