Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeNegeri SembilanViral

Menghargai Bakti Anggota Keselamatan yang Bertugas di Aidilfitri

By 20 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Jamilah Sulaiman/  Foto: Khairul Anuar B Rahmat

SEREMBAN, 20 Jun (Malaysiaaktif) – Bagi menghargai jasa dan pengorbanan para pejuang yang menjaga keamanan dan kesejahteraan negara Malaysia, Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (PEKERTI)menyampaikan sumbangan hari raya kepada anggota keselamatan Negeri Sembilan. Usaha ini adalah tradisi tahunan PEKERTI.

Pada tahun ini PEKERTI dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan telah menyediakan sejumlah 7000 kotak juadah hari raya dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) turut menyumbangkan duit raya kepada para anggota keselamatan dan 53 orang anak-anak yatim.

Menurut Yang DiPertua PEKERTI Negeri Sembilan, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin, sumbangan ini adalah tanda ingatan mahabbah yang diiringi doa dan harapan semoga pasukan keselamatan yang bertugas dapat merayakan Aidilfitri dengan lebih ceria, gembira, meriah dan mereka dapat merasai keriangan suasana hari raya sewaktu bertugas.

 

13433334_1293666774006639_2847419075020977567_o (1)

 

“Setiap bungkusan adalah ibarat tanda ingatan dan kasih kami yang diutuskan khas buat para anggota keselamatan. Walaupun tidak setimpal dengan budi yang ditabur, sumbangan yang kami berikan ini lahir dari hati yang tulus ikhlas sebagai tanda penghargaan dan kasih terhadap pengorbanan mereka,” ujar beliau lagi.

Sumbangan yang dihulur bukan sahaja kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Negeri Sembilan tetapi juga kepada Jabatan Penyelamat dan Bomba Negeri Sembilan, Jabatan Penjara Negeri Sembilan, Jabatan Maritim Negeri Sembilan/Melaka dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan. Sumbangan telah disampaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan,  Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Bin Hj Hasan, yang juga merupakan Penasihat PEKERTI Negeri Sembilan.

 

Tinggalkan komen anda