Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pemilik Viva D3V1L Diberkas

By 10 Jun 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh: Zuraidah Ahmad & Saiful Rahman Sabri (Sabah)

KOTA KINABALU, 10 Jun  (Malaysiaktif) –? Sebuah kereta Viva dengan nombor pendaftaran D3V1L yang menjadi viral dalam laman sosial sebelum ini, akhirnya berjaya dikesan polis dan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan dituduh di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987, pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah, ACP M Chandra pemilik Viva tersebut merupakan kakitangan kerajaan, 28, mengaku telah menggunakan kenderaan itu selama tiga bulan dari rumahnya, di Kinarut ke Likas.

Semasa ditahan dalam OP Khas/ Warta Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu semalam, kenderaan itu tidak mempunyai cukai jalan.

Dia yang ditahan di Asia City atas kesalahan itu, telah disaman dan dibebaskan atas jaminan polis sementara menunggu tindakan lanjut daripada pihak JPJ kerana menggunakan nombor pendaftaran yang tidak wujud.

POLIS KK 1

Dalam operasi yang bermula 2.00 petang hingga 11.00 malam itu, 40 buah kenderaan telah diperiksa di kawasan tumpuan pelancong iaitu di Asia City dan Jesselton.

Polis kemudiannya menyita empat van persendirian kerana melanggar Seksyen 51 Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan dituduh di bawah Seksyen 33 akta yang sama kerana menggunakan kenderaan persendirian sebagai kenderaan perkhidmatan awam.

“Sekiranya didapati bersalah, mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 atau tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

“Empat pemandu yang ditahan berumur antara 24 hingga 45 tahun dan semuanya telah dibebaskan dengan jaminan polis. Bagaimanapun, mereka dituduh di bawah Seksyen 33 Akta LPKP dalam tempoh seminggu ini,” katanya.

Tambah Chandra, pemandu kenderaan tersebut sering menimbulkan masalah dan ketidakselesaan kepada pengguna jalan raya lain selain menyebabkan kesesakan kerana tidak mematuhi peraturan terutama semasa meletak kenderaan dan menurunkan penumpang secara sebarangan.

POLIS KK 4

Sementara itu, kecekapan polis peronda (MPV) berjaya menumpaskan kegiatan jenayah oleh suspek berkumpulan dikenali sebagai Geng Aton di kediaman pengadu, Taman Setia Likas, 33, merupakan seorang peniaga pada Isnin, kira-kira 9.00 malam.

Dalam kejadian itu, polis telah membuat soal siasat awal terhadap suspek yang kelihatan mencurigakan di dalam kereta Proton yang diletakkan di belakang rumah mangsa dan mendedahkan dia sedang menunggu tiga lagi rakannya yang sedang memasuki rumah berkenaan.

Polis kemudiannya membuat tangkapan atas empat suspek lelaki warga tempatan yang berumur antara 25 hingga 29 tahun semuanya beralamat di Kg Likas serta menyiasat kes itu bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Jelas Chandra, ketua kumpulan itu digelar sebagai Anton, 39, tidak bekerja dan membuat kegiatan jenayah sama sebanyak empat kali sejak selesai menjalani hukuman penjara pada 27 April lalu.

“Dia mempunyai empat rekod jenayah lampau dan melakukan jenayah sama ekoran kesukaran mendapatkan pekerjaan dan hanya mempunyai kelulusan akademik Darjah Enam.

“Manakala, harta yang berjaya dirampas berupa 10 utas jam tangan berjenama, PSP, tiga dompet dan peralatan pecah rumah yang bernilai RM200,000,” katanya kepada media di Balai Polis Kepayan di sini, pagi tadi.

POLIS KK 2

Dalam pada itu, Chandra turut menasihati orang awam agar menggunakan perkhidmatan semakan laporan kredit oleh Bank Negara terdekat berikutan kes sendikit mengubah suai Mykad dan menyamar untuk membuat pembelian kereta dan barangan menerusi agensi kewangan yang berlaku pada Februari lalu.

Mangsa, lelaki dari Brunei, 42, merupakan kakitangan di salah sebuah syarikat penerbangan di sini mengalami kerugian lebih RM19,225 apabila identitinya telah digunakan oleh individu lain.

Hasil siasatan, polis menahan seorang lelaki warga asing, berbangsa Jawa yang bekerja sebagai Penyelia Ladang di Beluran serta merampas sebuah kereta Produa Kembara dan pasport tamat tempoh miliknya.

Suspek juga mengaku membeli identiti daripada pihak ketiga dengan harga RM1,000 dan menggunakan dokumen diri mangsa berkenaan untuk untuk tujuan permohonan pinjaman pembelian kenderaan dan pembelian barang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 (Tipu) dan Seksyen 419 (tipu dengan jalan samaran) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda.

SF

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda