Skip to main content
HomeKelantan

Pentingnya Keamanan, Mesej Disebar Melalui Mural

By 14 Jun 2016Jun 15th, 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Robani Nabi Ahmad (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 14 Jun (Malaysiaktif) – Lukisan mural berlatar belakangkan suasana di Negara Palestin, menghiasi bangunan-bangunan lama di sepanjang Lorong Medan Ilmu, di sini.

Menelusuri perjalanan di sepanjang lorong ini, terdapatnya bangunan kedai lama dan sunyi namun keadaan tersebut bagaikan berseri semula dengan coretan lukisan mural di dinding bangunan.

Kini tempat ini menjadi tumpuan dan sering dikunjungi setiap masa dengan adanya lukisan mural yang menarik dan sedap mata memandang. Hiasan lukisan mural tersebut dilihat mampu menarik minat pengunjung mengunjungi lorong tersebut sebagai aktiviti riadah dan bergambar.

 

Lakaran mural yang mencantikkan panorama di sekitar premis perniagaan ini

Lakaran mural yang mencantikkan panorama di sekitar premis perniagaan ini

 

Lukisan mural ini dihasilkan oleh Mohd Nawi Mat Ali, 62, bersama-sama 4 orang pembantu yang turut berkongsi minat dengannya. Menurutnya mereka mengambil masa sekitar sebulan untuk melukis mural dibelakang bangunan kedai dan lorong-lorong bangunan tersebut.

“Lukisan ini memaparkan suasana dan kehidupan masyarakat Pelestin dari segi budaya, ekonomi, pendidikan dan politik ini sebenarnya memberi mesej pentingya keamanan kepada rakyat,” ujarnya ketika ditemui Malaysiaaktif.

Menurut Zulkhairi, 34, pengunjung,  lukisan mural ini dapat menceriakan suasana lorong Medan Ilmu yang sebelum ini tidak ceria dan sunyi. Bagi beliau sewajarnya mural yang dihasilkan perlu juga memaparkan senario budaya masyarakat Kelantan yang  melambangkan ciri-ciri tempatan  seperti  wau, dikir barat, wayang kulit  dan banyak lagi yang  berkisar dengan suasana kehidupan masyarakat di sini. Dengan cara ini dapat memperluaskan lagi pengetahuan rakyat kepada budaya Kelantan.

“Keunikan lukisan mural ini  adalah satu usaha murni dalam mengindahkan bandar Kota Bharu sebagai tarikan pelancong dari dalam dan luar negeri.

“Walaupun ianya agak baru di sini, namun daya tarikan yang tersendiri dapat menyampaikan mesej kepada masyarakat melalui lukisan mural ini serta menarik minat pengunjung untuk mengunjungi Lorong Medan Ilmu”, katanya lagi.

Beliau berharap agar lebih banyak lukisan mural dihasilkan di bangunan-bangunan lama demi menghidupkan suasana serta menarik perhatian agar lebih ramai pelancong datang ke sini.

 

-SH

Tinggalkan komen anda