
Oleh: Asmidar Zainol & Shahvian Muhammad Razali (Sabah)
KOTA KINABALU, 20 Jun (Malaysiaktif) –? Sumbangan petugas yang bertugas pada waktu malam dihargai melalui agihan juadah bersahur yang dapat menzahirkan penghargaan terhadap tugas dan pengorbanan mereka yang bekerja pada waktu malam.
Seramai 200 peserta daripada pelbagai kelab basikal tempatan dan orang perseorangan menyertai Program Merakyatkan Seni Budaya : Nilai-nilai Murni Kayuhan Sahur 2016, di samping mengadakan majlis sahur bersama 25 anak-anak yatim dari Rumah Kasih Kepayan dan Bukit Harapan Inanam di Kompleks JKKN Sabah di sini, semalam.
Menurut Pengarahnya, Mohamd Raizuli Mat Jusoh program tersebut bertujuan untuk mengedar juadah bersahur kepada petugas-petugas yang berkhidmat pada waktu malam di beberapa lokasi terpilih seperti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kepayan, Jabatan Penjara, Hospital Queen Elizabeth, Mahaad Tahfiz Al Quran, Kepayan, Balai Bomba dan Penyelamat Sembulan.
“Di samping menyemarak dan mengimarahkan bulan Ramadan 2016, kami juga berharap program ini secara tidak langsung akan dapat mengeratkan silaturahim antara pemimpin bersama masyarakat setempat, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan,” katanya ketika berucap pada program tersebut.
Kayuhan sejauh 20km itu yang bermula dan berakhir di Kompleks JKKN dilepaskan Mayor Kota Kinabalu. Datuk Yeo Boon Hai yang turut sama menyertai acara tersebut.
Program ini yang dilaksanakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kinabalu Amature Radio Trasmitting (KARTS).
SF