Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

Syed Rosli Tidak Penting, Kata Zambry

By 4 Jun 2016Jun 7th, 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Diyana Zamri (Putrajaya)

KUALA KANGSAR, 3 Jun (Malaysiaaktif) – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata beliau tidak memberi keutamaan kepada orang seperti Syed Rosli Syed Harman Jamalullail.

Zambry berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Bersama Menteri Besar Perak dan Taklimat Isu-isu Semasa Oleh Presiden CUEPACS di Auditorium Tun Abd. Razak, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di sini petang tadi.

Syed Rosli yang merupakan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, telah menyatakan hasratnya untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar sebagai calon Bebas pada 31 Mei lalu melalui laman Facebook kerana tidak berpuas hati dengan pemilihan balu arwah Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon Barisan Nasional (BN) di sini.

Sementara itu, Zambry turut menafikan pendekatan Barisan Nasional (BN) yang dikatakan tidak menepati janji-janji kepada penduduk Kuala Kangsar.

“Saya tidak tahu jika ada dalam kalangan ahli-ahli yang menjanjikan pelbagai [perkara], yang saya tahu, tidak ada…Selama ini pun BN menggunakan pendekatan yang realistik. Kita akan menjanjikan sesuatu yang boleh kita buat. Kita tidak akan menjanjikan sesuatu yang tidak boleh kita buat. Kita tidak akan menjanjikan the sky is the limit (melangit). Apa yang kita buat ialah seperti biasa apa perkara-perkara yang ada di sini dan kita akan meneruskan apa yang telahpun dibuat oleh mantan YB dulu,” jelas Zambry.

Tambahnya lagi, ini merupakan satu isu yang dibawa oleh pihak pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar kali ini.

Mengenai calon Parti Amanah Negara (Amanah), Dr. Ahmad Termizi Ramli, oleh Pakatan Harapan (PH) semalam, Zambry berkata itu hanya menunjukkan pertambahan calon dan tidak ada sebarang halangan daripada BN.

“Kita tidak ada dari segi halangan apa-apa kerana itu adalah hak mereka untuk menamakan siapa sahaja atau pun mungkin ada parti yang lain lagi yang nak menamakan calon [mereka], itu adalah hak masing-masing.

 

-AH/AAS

Tinggalkan komen anda