Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahEkonomiHomeSelangorViral

[VIDEO] Nelayan Selangor Bantah Caj Jeti Pendaratan, Tambatan

By 16 Jun 2016Tiada komen4 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa

SUNGAI BESAR, 16 Jun (Malaysiaaktif) – “Terlalu banyak bayaran, jika sebelum ini pondok-pondok diberitahu urusan tanah dengan pejabat daerah, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pula berkenaan air, kebersihan pula dengan majlis perbandaran (MPK) di sebelah Pelabuhan Klang. Sekarang ada pula bancian untuk meminta bayaran caj bagi jeti-jeti pendaratan dan tambatan.”

Demikian keluhan, Badri Salleh, 53, yang telah menjadi nelayan lebih 30 tahun apabila ditemui  semasa demonstrasi Nelayan Bantah yang diadakan di Pengkalan Nelayan Batu 23, Sungai Nibong di sini pagi tadi.

 

Badri Salleh

Badri Salleh: “Terlalu membebankan…”

 

Tambahnya, semua caj ini memang membebankan. Apabila mendapat tahu tentang  bancian, para nelayan tak boleh terima. Sebab yang buat jeti-jeti ni adalah dari kerajaan pusat mengapa kerajaan negeri pula yang nak kutip caj itu dan untuk apa?

Sementara itu, menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor, Mohd Jaman Haris, 49, pihak kerajaan negeri telah datang membuat bancian tentang jumlah jeti yang akan dikenakan caj pendaratan dan caj tambatan.

 

pengerusi nelayan

Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor, Mohd Jaman Haris.

 

“Kami telah menyiapkan memorandum yang ditandatangani oleh 72 orang perwakilan Mesyuarat Agong Persatuan Nelayan Selangor pada 25 Mei lalu. Surat pula dibuat pada 27 Mei dan dihantar ke Pejabat Menteri Besar, Datuk Azmin Ali untuk kami serah memorandum, malangnya sampai hari ini kami tak dapat maklum balas.

Memorandum dibuat adalah supaya nelayan dikecualikan daripada caj yang akan dikutip oleh LUAS selepas peringkat bancian yang telah siap dibuat di lebih 100 jeti di kawasan Sungai Besar, Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang. Dua lagi lokasi yang akan dibanci adalah di Kuala Langat dan Sepang.

“Dia banci bagi dikategorikan jumlah jeti yang layak diisytiharkan untuk dibayar caj jeti pendaratan dan jeti tambatan. Namun mereka tidak memaklumkan sebab-sebab dikenakan caj tersebut.

 

 

“Kami bantah adalah untuk nelayan negeri Selangor. Jika selama ini kerajaan persekutuan bina jeti tanpa apa-apa caj namun sekarang kerajaan negeri pula nak kutip caj. Kalau ada 10 jeti di pangkalan tu maknanya nelayan kena kumpul RM6000 untuk kongsi kerana setiap jeti dicaj RM600 setahun.

Terdapat 16 pengkalan nelayan yang dibina oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Sungai Besar. Jeti dijadikan tempat nelayan mendaratkan ikan.

“Sekiranya pihak tertentu nak kenakan caj pasti amat membebankan kerana nelayan sumber pendapatannya adalah tidak menentu. Kerja nelayan ini bergantung kepada cuaca dan ribut, apabila kami tak turun ke laut bebanan pasti meningkat.

“Di Sungai Besar sahaja sebanyak 1496 nelayan yang mendaftar terdiri daripada majoriti Cina, Melayu dan India.

“Kami berharap bantahan bukan sekadar untuk caj jeti malah tindakan kerajaan negeri yang  mewajibkan LMS (Lesen Menduduki Sementara) untuk jeti-jeti yang telah dibanci. Pengkalan nelayan ini perlu mendaftar LMS untuk tanah dalam kawasan jeti tu kepada pejabat-pejabat daerah yang akan dikenakan caj seperti biasa dan semua ini pasti akan membebankan nelayan.

“Jeti pendaratan macam ni. Naikkan tangkapan itu dinamakan sebagai jeti pendaratan. Selepas dinaikkan mereka akan pergi ke jeti tambatan pula. Kalau kat tambatan tu ada jeti, jeti tu pun akan dikenakan caj. Maksudnya kami perlu membayar RM1200 yang dikumpul beramai-ramai,” ujarnya lagi.

 

shabery 2

Shabery: “Bancian untuk mengutip caj tambahan ini agak pelik…”

 

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang turut ditemui semasa demonstrasi itu berpendapat isu bancian untuk mengutip caj tambahan ini agak pelik.

“Saya difahamkan ada cadangan usaha kerajaan Selangor untuk mengenakan caj jeti dan keresahan begitu mendalam sekali bukan sahaja bagi nelayan kecil tetapi juga jeti-jeti besar yang dibuat oleh pihak swasta.

“Sebahagian jeti dibuat oleh kerajaan persekutuan melalui LKIM. Ertinya ini agak pelik kerana kalau jalan dikenakan tol kita faham kerana ada pihak tertentu yang membuat jalan yang memerlukan kos. Tetapi di sini kerajaan negeri tidak buat jeti ini yang buat ialah kerajaan persekutuan melalui LKIM. Sepatutnya kerajaan negeri memberi bantuan bukannya mengambil kesempatan.

“Akhirnya kos ini akan dipindahkan kepada pengguna kerana terpaksa membayar lebih. Saya faham ada perkara-perkara tertentu kerajaan negeri nak kutip hasil tetapi tidak kepada perkara yang membabitkan produktiviti kepada rakyat. Perkara ini akan jadi wajar jika mereka nak membangunkan, memperindah, memberikan kemudahan yang dapat menjadikan kerja itu lebih efisien.

“Kerajaan ini tak mempedulikan rakyat. Kita faham negeri ada memang kuasa tetapi saya rasa yang paling penting rakyat mesti menyampaikan mesej ketika pilihan raya ini dan kita lihat apa langkah seterusnya yang diambil oleh pihak mereka.

“Esok saya akan ke ternakan ikan air tawar katanya pengusaha juga rasa resah kerana penggunaan air juga akan dicaj oleh kerajaan negeri mengikut berapa liter air yang digunakan,” ujar Shabery lagi.

 

Mohamad Abdul Rahman

Mantan Pengerusi Nelayan, Mohamad Abdul Rahman.

 

Menurut Mantan Pengerusi Nelayan, Mohamad Abdul Rahman, 56, dia yang telah menjadi nelayan sungai sejak berumur 12 tahun jadi nelayan sungai telah menerima pelbagai insentif kerajaan persekutuan seperti subsidi minyak petrol, bantuan rumah RM10,000, dan sara hidup bulanan berjumlah RM300 sejak lapan tahun yang lalu.

“Kini, tak sangka kerajaan negeri pula nak caj sesuka hati. Pastinya caj-caj tambahan ini akan menyebabkan kami semua akan rasa terbeban,” ujarnya.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda