Skip to main content
Berita TempatanKelantan

Majlis Hari Raya Eratkan Masyarakat Orang Asli

By 18 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh : NorFadzlina Ahmad Fadzli (Gua Musang)

GUA MUSANG, 18 Jul (Malaysiaaktif) –  Seramai 1000 masyarakat Orang Asli dari Pos Hendrop, Pos Tuel dan Pos Broke diraikan dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di perkampungan Asli Pos Hendrop Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Tinjauan Malaysiaaktif mendapati pelbagai acara pengisian diadakan semasa majlis tersebut seperti pertandingan karaoke lagu raya, demostrasi solekan dan dandanan rambut.

Demonstrasi dandanan dan solekan menyerikan majlis hari raya ini

Demonstrasi dandanan dan solekan menyerikan majlis hari raya ini

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Abdul Aziz Yusof, berkata, majlis ini diadakan bagi meraikan masyarakat Orang Asli yang beragama Islam.

“Dengan adanya majlis seperti ini, Orang Asli yang beragama Islam akan lebih tertarik terhadap ajaran Islam dan tidak merasa diri mereka terpinggir.

“Majlis ini juga dapat meningkatkan tahap keyakinan Orang Asli untuk bergaul dengan pemimpin masyarakat serta orang ramai,” ujarnya lagi.

Sementara itu, seorang saudara baru yang memeluk Agama Islam, Normah Daud, 33, berkata beliau sangat gembira dan terharu dengan sambutan hari raya ini.

“Sebagai saudara baru saya merasa dihargai dan akan berusaha untuk mendalami ajaran Agama Islam,” katanya.

Manakala Asu anak Ronggeng, 27, berkata, beliau sanggup mengambil cuti bekerja semata-mata untuk pulang ke Pos Hendrop.

“Saya kerja sebagai jurujual di Cameron Highland sanggup cuti sebab nak belajar cara bersolek dan merapikan diri dalam majlis tersebut.

“Saya juga gembira sebab dapat menikmati pelbagai juadah raya walaupun saya bukan beragama Islam,” katanya kepada Malaysiaaktif.

Majlis tersebut bertambah meriah dengan pemberian sumbangan keperluan isi rumah kepada 500 buah keluarga yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Turut hadir wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Azman Ibrahim, dan Yang Dipertua Majlis Belia Kelantan, Mohd Shahbudin Hashim.

 

-SH

Tinggalkan komen anda