Skip to main content
Home

[Video] Komputer Riba Untuk 33,000 Pelajar Sekolah Di Sarawak

By 26 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan, foto, video oleh Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 26 Ogos (Malaysiaktif) – Seramai 33,000 pelajar tingkatan lima sekolah menengah kebangsaan di seluruh negeri Sarawak akan menerima pinjaman komputer riba daripada kerajaan bagi meningkatkan akses kepada sumber pendidikan berkualiti.

Komputer riba itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak di pejabatnya di sini siang tadi.

Program pembekalan komputer riba untuk kegunaan murid-murid tingkatan 5 menerusi Program Komputer Riba Secara Rintis di Negeri Sarawak yang dikendalikan Kementerian Pendidikan Malaysia dilihat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar sebagai persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, projek rintis ini sebagai garis panduan dalam menilai perkembangan akademik pelajar-pelajar di seluruh negara.

Katanya, kerajaan akan melihat faktor kejayaan program rintis ini terlebih dahulu sebelum memperluaskannya ke negeri-negeri lain seperti peningkatan dalam gred purata mata pelajaran murid.

 

“Kita bermula di Sarawak kerana meliputi kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman. Sekiranya ia berjalan lancar di Sarawak, maka kita boleh ambil kaedah bahawa ia boleh berjalan lancar di seluruh negara.

“Diharapkan dengan pemberian ini, pelajar-pelajar di Sarawak akan dapat menyampaikan atau mempersembahkan komitmen mereka dengan lebih baik dalam aspek pencapaian mereka dalam bidang pendidikan,” katanya ketika mengulas mengapa Sarawak dipilih sebagai negeri rintis untuk program ini.

Kemudahan skim pinjaman ini bakal dilaksanakan mulai bulan September 2016 yang akan melibatkan kos sekitar RM45 juta untuk murid sekolah menengah kebangsaan seluruh negeri Sarawak.

Pelaksanaan program ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap janji dikotakan serta dilaksanakan sebaik mungkin.

 

-SH/AAS

Tinggalkan komen anda