Skip to main content
Berita TempatanLabuanViralWilayah Persekutuan

Opera Mutiara Juara Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia Labuan

By 23 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto : Roziman Mahmudin

LABUAN, 23 Ogos (MalaysiaAktif) – Dengan tajuk Dialah Sang Adiputra, Anak Watan Pembela Bangsa, Kumpulan Opera Mutiara, muncul juara Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2016 yang diadakan di Dewan Mutiara, Kolej Matrikulasi Labuan sebentar tadi.

Kumpulan ini dianggotai oleh Frickly Goh, 25 tahun, Johaniza Jonait, 35 tahun dan Siti Dalliah Abi, 26 tahun menampilkan penceritaan mengenai Negarawan Ulung Dato’ Onn Jaafar, berjaya menewaskan 4 pasukan lain.

Menurut Frickly yang juga ketua kumpulan, pengisahan mengenai Dato’ Onn Jaafar memberi mesej kepada masyarakat supaya sentiasa mengingati pengorbanan pemimpin ulung itu dalam memperjuangkan kemerdekaan.

Tambah Frickly lagi, beliau dan ahli yang lain bangga menjadi wakil Labuan ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan akan berlangsung pada bulan September ini di Melaka dan berjanji akan memberi yang terbaik dengan membuat latihan serta memperbaiki kelemahan yang ada.

Dengan kemenangan itu, trio tersebut membawa pulang wang tunai RM3,000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Seorang hadirin yang hanya mahu dikenali sebagai Harold, 21, pertandingan ini merupakan wacana ilmu bagi generasi muda untuk mengetahui sejarah tokoh-tokoh perjuangan kemerdekaan terdahulu yang bertungkus lumus dalam mendapatkan kemerdekaan disamping ia menjadi platform untuk generasi muda menunjukkan dan mencungkil bakat berkarya dan berlakon.

Naib johan dirangkul oleh Kumpulan Cintaka Santer yang mengisahkan mengenai Tan Sri Datin Paduka Seri Dr Hajjah Aishah Ghani manakala tempat ketiga di miliki oleh Kumpulan T.D (Tidak Diketahui) yang membawa tajuk ‘Labuanku Wilayahku’.

Pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Labuan itu adalah program tahunan yang menjadi medium memperingati tokoh negara terdahulu disamping menyemai sifat patriotik di kalangan generasi muda.

Hadir dalam pertandingan itu, Ahli Dewan Negara yang mewakili Ahli Parlimen Labuan, Senator Datuk Haji Yunus Haji Kurus, Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Matteri Marussin serta pengurusan tertinggi Kolej Matrikulasi Labuan.

 

-MRR
Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda