Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Waspada Daging Rusa Tiruan di Pasaran

By 19 Ogos 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 19 Ogos (Malaysiaaktif) – Penjualan daging rusa tiruan yang didakwa semakin berleluasa menimbulkan kebimbangan kepada para penternak rusa.

Menurut rakan kongsi ladang rusa Sure Jade, Shamsul Anuar Md Ali, 38, dia bersama tiga orang lagi rakan kongsinya menasihati peminat haiwan eksotik itu agar berwaspada kerana daging yang dikatakan rusa kemungkinan hanya daging kerbau muda.

“Harga yang dijual pula begitu rendah sedangkan harga pasaran untuk daging rusa sekurang-kurangnya RM60 hingga RM100 bagi satu kilogram (kg),” ujarnya ketika ditemui di ladang yang terletak di Sungai Rambai, di sini.

Difahamkan, cara untuk mengenalpasti ketulenan daging rusa ialah dagingnya dijual bersama tulang seperti daging kambing, kerana harga rusa yang mahal tidak kompetitif jika jual daging yang dipisahkan daripada tulang.

“Harga seekor rusa di pasaran adalah RM3,000 hingga RM5,000, dengan berat antara 40kg hingga 80kg. Tidak mungkin harga sekilogram dijual dalam hanya RM25 hingga RM30. Setelah ditolak kepala, kaki, kulit dan isi perut, dah tentu harga daging rusa dijual hingga menjangkau RM80 sekilogram,” jelasnya yang merupakan bekas guru.

Tanduk rusa yang dikatakan boleh dijadikan sebagai ubat

Tanduk rusa yang dikatakan boleh dijadikan sebagai ubat.

 

Pemilik Sure Jade, Adam Mohamed, 48, berkata, projek ternakan rusa timorensis yang berpangkalan di Muar, Johor ini dimulakan pada pertengahan tahun 2003 dengan sepasang rusa hanya sekadar sebagai hobi.

“Selepas setahun, bilangan rusa bertambah menjadi 18 ekor. Kini, ladang ini mempunyai lebih 200 ekor rusa dan saya lihat lima tahun kebelakangan ini permintaan yang kami terima sangat tinggi sehingga kami tidak mempunyai bekalan yang mencukupi,” ujar Adam.

Menyedari potensi yang besar terhadap daging rusa mendorong mereka menjadikan ternakan itu sebagai pilihan untuk dikomersialkan hingga tercetus idea untuk melakukan sistem contract farming dan pawah.

Sistem pawah ialah sistem yang membahagi dua hasil yang diperoleh antara tuan punya dengan orang yang mengusahakannya. Misalannya, hasil ternakan rusa yang pertama merupakan milik pemilik, hasil ternakan kedua pula menjadi milik penjaga, ternakan yang ketiga menjadi milik peniaga dan kitaran ini berterusan.

Kulit rusa yang bernilai antara RM300 -Rm500 utk dijadikan hiasan

Mohd Firdaus memegang kulit rusa yang bernilai antara RM300 -Rm500 untuk dijadikan hiasan.

 

“Dengan itu, kami membuka contoh projek tersebut di Sungai Rambai supaya sesiapa yang berminat boleh melihat sendiri bagaimana sistem pawah ini dijalankan,” ujarnya.

Menurut seorang lagi rakan kongsi mereka yang juga bekas kontraktor, Jamal Subi, 49, kebaikan dan kelebihan daging rusa menarik minat orang ramai apatah lagi sifatnya yang rendah lemak dan kolesterol, tinggi protein dan zat besi serta kaya dengan Omega 3.

Tanduk rusa (velvet) dibeli utk dijadikan ubat

Tanduk rusa (velvet) dibeli untuk dijadikan sebagai ubat.

 

“Rusa adalah haiwan yang mudah diternak kalau tahu pengurusannya. Rusa jenis timorensis lebih mudah diternak kerana kurang risiko penyakit dan mati, serta tiada kos rawatan. Manakala, kos harian untuk makanan dan menjaga sangat rendah dengan hanya RM0.80 sehari,” kata Jamal.

Difahamkan, rusa juga merupakan haiwan ternakan yang tidak memilih rumput sebagai makanannya. Selain daripada rumput, hampas soya dan tahi minyak sawit akan diberikan sebagai makanan tambahan mereka sebanyak dua kali sehari.

Hampas soya dan tahi kelapa sawit

Makanan tambahan – Hampas soya dan tahi minyak sawit diberi kepada rusa dua kali sehari,

 

“Penternakan rusa juga tidak memerlukan kawasan tanah yang luas seperti kambing dan lembu sebab penggunaan keluasan penternakan bergantung kepada cara penternakan rusa dilakukan, sama ada secara ladang atau secara potong dan bawa,” jelas seorang lagi rakan kongsi Sure Jade, Mohd Firdaus Abdullah.

Firdaus yang berusia 47 tahun itu berharap akan lebih ramai yang berminat untuk melibatkan diri dalam penternakan rusa, supaya dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan dan juga luar negara.

Pemilik - jamal, firdaus, shamsul dan adam

Pemilik ladang rusa Sure Jade (dari kiri) Jamal Subi, Mohd Firdaus Abdullah, Shamsul Anuar Md Ali dan Adam Mohamed.

 

“Kita mendapat permintaan daripada usahawan dari Timur Tengah untuk membekalkan empat ekor rusa seminggu kepada mereka, tapi kami tidak cukup bekalan. Jika kita dapat bekerjasama membiakkan lagi baka rusa ini, kita akan mampu meningkatkan ekonomi sara diri para penternak sekaligus memajukan ekonomi negara,” katanya.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda