Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Hapus Dadah Perlu Peranan Semua Pihak

By 6 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 6 Sept (Malaysiaaktif) – Dalam usaha meningkatkan kecekapan ke arah pelaksanaan program memerangi dadah, sebuah Seminar Perangi Dadah Habis-habisan (PDH) bakal diadakan Oktober depan.

Pengerusi Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Melaka Tengah, Datuk Abu Bakar Mohamad Diah berkata, pembentukan jawatankuasa yang bersepadu dan pelaksanaan yang berterusan perlu dilakukan sehingga masalah dadah di kawasan berkenaan dapat dikawal dan dihapuskan.

“Kita bersetuju membuat seminar PDH yang melibatkan semua ahli pemimpin dan juga golongan sasaran iaitu nelayan, supaya bersama-sama menyokong untuk bertindak secara NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) bersama agensi penguatkuasaan dalam meneruskan agenda kerajaan,” ujarnya.

Tambahnya, kempen perangi dadah habis-habisan yang dilancar itu berikutan
peningkatan penagih yang dikesan adalah seramai 282,660 orang pada 2015 manakala penagih baru dikesan meningkat kepada 76.1 peratus.

“Malah, bagi daerah Melaka Tengah sahaja jumlah Orang Kena Pengawasan (OKP) sehingga Julai 2016 adalah seramai 906 orang berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu 827 orang,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat MTMD di Wisma Negeri, Ayer Keroh semalam.

Peningkatan jumlah OKP ini berikutan usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) membuat Ops Sarang dalam kawasan-kawasan sarang penagihan dadah dan Ops Cegah dalam Daerah Melaka Tengah sepanjang 2016.

Menurut Abu Bakar, dapat dilihat bahawa peningkatan ini adalah hasil tindakan agresif pihak berkuasa dalam memastikan penagih dadah ini dikenakan tindakan undang-undang dan juga memastikan kerjasama orang awam diteruskan dengan maklumat yang berkesan.

“Walaupun OKP meningkat, namun kesan daripada operasi dan peranan media, penagih dadah di port semakin berkurangan dan mereka sentiasa rasa ‘tidak selamat’ apabila operasi kerap dijalankan. Urusniaga mereka juga telah berubah trend menjadi jualan di atas jalan atau tidak statik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abu Bakar turut berkata aktiviti pencegahan dan pemusnahan kawasan hotspot penagih dadah terpilih iaitu Tanjung Kling akan diteruskan dan penglibatan semua pihak amat diperlukan.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda