Oleh: Fauzrina Hj Bulka / Foto: Khairunnisa Abdul Rahman
MELAKA, 1 Sept (Malaysiaaktif) – Sebuah Konsert Amal Retro Rock akan diadakan pada 2 hingga 3 September ini bagi meraih sumbangan untuk gitaris asal kumpulan Bumi Putra Rockers (BPR), Abdul Rahim Mad Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Yem.
Pada 27 Jun lalu, Malaysiaaktif pernah menyiarkan berita tentang Pak Yem. 54, yang terkenal sekitar tahun 80-an, kini terlantar kerana menderita sakit kanser tulang tahap empat.
Menurut Pengurus Acara, Mejar (B) Mohd Sarmin Jatim, Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Rambai dan Bahagian Khidmat Masyarakat, Jabatan Ketua Menteri Melaka mengambil tempoh masa hanya sebulan untuk merancang konsert ini.
“Tujuan utama kita mengadakan konsert ini ialah untuk mengumpul dana bagi membantu Pak Yem dan Pak Yem juga sebenarnya ialah keluarga angkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai,” ujarnya.
Menurut Mohd Sarmin, sebanyak 5,000 keping tiket telah dicetak dan dijual dengan harga RM10 sekeping untuk persembahan konsert selama dua malam yang akan diadakan di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Sungai Rambai.
“Edaran tiket telah dibuat kepada orang ramai melalui Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), jabatan kerajaan, Sidang dan agensi. Hasilnya, 50 peratus tiket telah terjual setakat hari ini,” jelasnya.
Tambahnya, mereka yang ingin membeli tiket boleh mendapatkannya di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai ataupun di lokasi konsert berlangsung.
“Pada yang belum memperoleh tiket masih boleh menonton konsert dan membuat sumbangan di akhir konsert kepada urus setia.
“Harapan saya agar kita dapat mengumpul seberapa banyak sumbangan untuk membantu Pak Yem dan juga semoga semua yang terlibat dalam menjayakan konsert ini benar-benar ikhlas menyumbang dan tidak mengenakan sebarang bayaran atau sekadar meminta bayaran minima daripada pihak penganjur,” kata Mohd Sarmin.
Sebanyak 50 gerai jualan turut dibuka sehingga 4 September dan 40 daripadanya adalah peniaga yang berdaftar dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Selain itu, terdapat pameran dan gerai jualan oleh Yayasan Artis 1Malaysia yang dijangka akan diserikan dengan kehadiran penyanyi DJ Dave dan kumpulan Lefthanded.
Mohd Sarmin ditemui oleh Malaysiaaktif ketika menyertai Lawatan Program Pertukaran Pegawai Penerangan Dan Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Negara Brunei ke Malaysia di RTC Sungai Rambai, tadi.
Program ini mula diperkenalkan pada tahun 2008 dengan misi untuk mengeratkan lagi kerjasama penerangan antara dua buah negara di samping mencari peluang kerjasama baharu dan perkongsian idea yang boleh dibawa balik ke negara masing-masing.
-DZ