Skip to main content
Berita TempatanSabah

3,000 Meriahkan Istiadat Perbarisan Hari Jadi Tun Juhar

By 2 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Muhammad Khairul Azad Yunus, Jeffren Malaning & Shahvian Muhammad Razali (Sabah)

KOTA KINABALU, 2 Okt (Malaysiaktif) – Lebih 3,000 pengunjung membanjiri Padang Merdeka seawal 7.00 pagi semalam bagi memeriahkan Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Jadi Rasmi ke-63 Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Datuk Mahiruddin.

Istiadat dimulakan dengan perarakan masuk Pasukan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ke-7 Kem Kubota, Tawau yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat.

Sejurus tiba, Tun Juhar menerima Tabik Hormat Diraja daripada KKU dan memeriksa kawalan berkenaan diikuti 17 das tembakan meriam oleh Rejimen ke-6 Artileri Diraja, Kem Lok Kawi.

image

Tun Juhar turut memeriksa perbarisan 86 kontinjen terdiri daripada jabatan kerajaan berpakaian seragam rasmi dan tidak berpakaian seragam rasmi, pertubuhan bukan kerajaan, kategori swasta, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), sekolah menengah, sekolah rendah serta pancaragam.

Pada istiadat itu, para pengunjung dihiburkan dengan persembahan daripada artis-artis Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah yang menampilkan gabungan tarian etnik Sabah sebagai simbolik perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sabah.

Menyusul selepas itu, Koir Dewan Bandaraya Kota Kinabalu membuat persembahan dengan dendangan tiga buah lagu iaitu Gunung Kinabalu, Malaysia Sehati Sejiwa dan lagu Selamat Hari Jadi khas buat Tun Juhar.

Turut berlangsung, Acara Penyampaian Hadiah Pertandingan Perbarisan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Bagi kategori sekolah rendah, johan dimenangi SK St. Francis Convent(M), naib johan ialah Persatuan Bulan Sabit Merah, SK Sri Gaya dan SK Sri Gaya di tempat ketiga.

image
Manakala, bagi kategori sekolah menengah, johan diraih SMK (A) Kota Kinabalu, SMK Bandaraya sebagai naib johan dan SMK Taman Tun Fuad pemenang tempat ketiga.

Untuk kategori IPTA dan IPTS pula, Kolej Sains Kesihatan Bersekutu muncul johan menewaskan Institut Kemahiran Belia Negara,Kinarut dan Kolej Vokasional Likas.

Sementara itu, Kumpulan Yayasan Sabah diumum sebagai johan kategori Swasta, Sabah Electricity Sdn Bhd sebagai naib johan dan tempat ketiga ialah Korporasi Pembangunan Desa.

Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Kota Kinabalu mengungguli kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan, naib johan St.John Ambulan Malaysia Sabah dan tempat ketiga ialah Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sabah.

Penguatkuasa Jabatan Tanah dan Ukur pula menjadi johan bagi kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi diikuti Polis Bantuan UMS dan Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sabah.

image

Jabatan Kerja Raya (JKR) berjaya menjadi johan untuk kategori Jabatan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi, manakala Kementerian Pembangunan Perindustrian menjadi naib johan diikuti Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan di tempat ketiga.

SF

Tinggalkan komen anda