Skip to main content
Home

Keselamatan Negeri Tanggungjawab Bersama – Tun Juhar

By 2 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

  Oleh: Nur Effa Maruf & Vicky Sylvester Matanjang (Sabah)

KOTA KINABALU, 2 Okt (Malaysiaktif) –Tanggungjawab terhadap keselamatan khususnya Sabah, bukan hanya terletak pada bahu pasukan keselamatan tetapi perlu dipikul bersama seluruh rakyat.

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Datuk Mahiruddin ketika menyampaikan Perutusan Istiadat Pengurniaan Darjah- Darjah Kebesaran sempena Hari Jadi Rasmi ke-63 di Istana Negeri pada Sabtu, berkata, perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat boleh menjadi benteng pertahanan bagi menghalang kemasukan dan penularan fahaman ekstremis serta pengganas.

“Saya menggesa kepada seluruh lapisan masyarakat termasuk para pemimpin di peringkat akar umbi dan komuniti agar sentiasa berwaspada dan bersikap proaktif dalam menyampaikan maklumat segala kegiatan yang meragukan kepada pihak berkuasa.

“Rakyat perlu menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dalam menangani insiden-insiden jenayah yang boleh mengganggu aktiviti harian masyarakat”, ujar Tun Juhar.

Tambahnya, rakyat juga seharusnya bersyukur kerana dapat mengecap kestabilan dan keamanan yang dinikmati pada hari ini, hasil daripada kerjasama dalam memastikan kemakmuran negara berterusan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan apa-apa juga cubaan dan ancaman yang menggugat keselamatan negara.

image

“Kerajaan bersama-sama pasukan keselamatan akan mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan negeri dan rakyat terus terpelihara.

“Saya menyeru seluruh rakyat negeri ini untuk terus bersatu padu dan memberikan sokongan kepada usaha-usaha yang dibuat oleh pasukan keselamatan demi memastikan tahap keselamatan berada di tahap yang tinggi”, kata Musa ketika menyampaikan ucapannya semasa istiadat itu.

Musa turut menyarankan pasukan penjawat awam dan pucuk pimpinan untuk memiliki nilai-nilai integriti, berdisiplin, bekerja keras, kreatif dan inovatif dalam menghadapi pelbagai cabaran masa kini.

“Sesungguhnya, kejayaan pelaksanaan program dan agenda pembangunan, banyak bergantung kepada peranan dan sumbangan anggota perkhidmatan awam selaku agen pelaksana.

“Aspek ini turut penting bagi memastikan rakyat dan para pelabur terus meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap akauntabiliti, integriti dan kecekapan sistem perkhidmatan jabatan dan agensi kerajaan di semua peringkat,” jelasnya.

Beliau juga mahu jabatan dan agensi kerajaan terus menunjukkan kecemerlangan dan prestasi yang terbaik bagi meningkatkan kualiti dan kecekapan untuk memacu kemajuan negeri Sabah ke peringkat yang lebih tinggi.

image

Sementara itu pada majlis yang sama, Pengerusi Yayasan Nur Jauhar, Al Hambra Tun Juhar telah ditauliahkan sebagai Mejar Kehormat Tentera Darat oleh Tun Juhar dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar.

SF/AAS

Tinggalkan komen anda