Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 5 Okt (Malaysiaaktif) – Rancangan asal pekerja unit simpanan kontena yang ingin melupuskan enam unit kabin bertukar bencana apabila angin yang kuat memarakkan api sehingga menyebabkan sebanyak 16 unit hangus dalam kejadian di Jalan Ayer Hitam, Masjid Tanah di sini.
Pengawal Keselamatan, Mukridin Tasman, 52, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi apabila beberapa unit kabin sedang dalam proses untuk dilupuskan, tetapi tiba-tiba angin bertiup kuat menyebabkan api merebak dengan pantas hingga memusnahkan 12 kabin kosong.
“Pada mulanya beberapa pekerja mahu bertindak sendiri untuk memadam kebakaran, tapi bila keadaan sukar dikawal salah seorang terpaksa menghubungi balai bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui tadi.
Menurutnya, kawasan seluas kira-kira dua ekar itu menempatkan lebih 40 unit kabin kontena sebagai stor penyimpanan barang milik sebuah syarikat.
Sementara itu, Ketua Balai Kanan II Masjid Tanah, Ismail Iskandar Shah Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung kejadian pada pukul 10.04 pagi dan mereka segera ke lokasi sejurus kemudian.
Operasi memadam membabitkan seramai 15 anggota termasuk ketua operasi dari Balai Bomba Masjid Tanah, Balai Bomba Ayer Keroh, Balai Bomba Jasin Bestari dan sebuah jentera EMRS Bomba Ayer Keroh.
“Tiada kemalangan jiwa berlaku dan kesemua kabin yang musnah adalah kabin-kabin yang kosong sahaja dan api juga dapat dikawal kira-kira 20 minit kemudian,” katanya.