Oleh Harikrishnan A/L Paramasivam
PETALING, 22 November (Malaysiaaktif) – Para guru dan ibu bapa disarankan supaya tidak terlalu memberatkan pencapaian akademik murid, tetapi sebaliknya melihat kepada pencapaian keseluruhan akademik dan kokurikulum agar tidak membebankan mereka.
Aspek tersebut ditekankan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan ketika berucap semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Bandar Kinrara hari ini.
Dalam pada itu, menyentuh tentang kepentingan sekolah, beliau berkata, “tanpa sekolah tiadalah tempat untuk anak-anak kita menuntut ilmu. Jadi, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak ‘The Community Chest’ yang sudi menyumbang RM2juta untuk pembinaan bangunan tambahan sekolah ini yang merangkumi sebuah bangunan empat tingkat bagi menempatkan 20 kelas.”
Kamalanathan turut merujuk kepada sumbangan hampir RM800 juta yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk pembangunan sekolah di negara ini.
Majlis pagi tadi turut dihadiri oleh pelajar, guru sekolah berkenaan serta ibu bapa.
Community Chest’ adalah sebuah badan amal bebas bagi mempromosikan dan menyokong pendidikan untuk masyarakat di Malaysia. Badan tersebut dibiayai keuntungan yang diperoleh Pan Malaysian Pools Sdn Bhd yang beroperasi di bawah nama perniagaan ‘Da Ma Cai.’