Oleh: Ahmad Faiz Mansur (Batu Maung)
BATU MAUNG, 17 November (Malaysiaaktif) – Beberapa buah rumah di Kampung Teluk Tempoyak di sini sekali lagi dimasuki air laut ekoran fenomena air pasang besar yang berlaku awal pagi semalam.
Seorang penduduk yang ditemui wartawan Malaysiaaktif, Mohd Sazali Zakaria, 35, berkata, paras air laut yang memasuki rumahnya pada kali ini dilihat lebih tinggi berbanding kejadian yang berlaku pada bulan September yang lalu.
Menurut Sazali lagi, kejadian ini mengundang keresahan kepada keluarganya kerana kebanyakan barangan elektrik dan perabot telah rosak kerana air laut masuk ke rumahnya dengan terlalu cepat.
Tambahnya, mereka sekeluarga merancang untuk meningkatkan ketinggian paras rumah bagi mengelak kemasukan air laut ke dalam rumah sekiranya fenomena air pasang ini berulang.
Tinjauan Malaysiaaktif mendapati beberapa penduduk yang menjadi mangsa fenomena air laut pasang besar ini bersikap lebih berwaspada dengan persediaan memindahkan semua barangan rumah ke tempat yang lebih tinggi.
Sebelum ini, Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi dalam satu kenyataan memberitahu bahawa negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia masih boleh menerima hujan monsun dan berkemungkinan berlaku banjir ekoran daripada permulaan monsun timur laut.
– AH