Skip to main content
HomeViral

Lulusan PhD Dalam Kalangan Warga Emas Meningkat – KPT

By 23 November 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 23 Nov — Jumlah lulusan doktor falsafah (PhD) dalam kalangan warga emas berumur 60 tahun ke atas semakin meningkat, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Beliau berkata bilangan warga emas yang memperoleh PhD tahun ini iaitu setakat 21 Nov lepas telah meningkat kepada 44 orang berbanding 38 orang tahun lalu.

“Mereka terdiri daripada 36 orang daripada universiti awam manakala lapan lagi daripada universiti swasta.

“Universiti awam pilihan warga emas adalah Universiti Utara Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Malaysia.

“Bagi universiti swasta pula, ia membabitkan Universiti Terbuka Malaysia, Universiti Selangor, Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Universiti Limkokwing dan UniKL-Business School,” katanya menerusi kenyataan Rabu.

Noorul Ainur berkata antara bidang pengajian utama yang menjadi pilihan warga emas adalah Sastera Sains Sosial, Pendidikan, Teknik dan Pengajian Sains.

“Pencapaian ini merupakan satu kejayaan yang membanggakan bagi sistem pendidikan tinggi Malaysia yang fleksibel selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi),” katanya.

Noorul Ainur berkata, sistem pendidikan tersebut memberi tumpuan terhadap pembangunan sistem pembelajaran sepanjang hayat serta menyediakan peluang yang lebih luas kepada golongan yang sudah mempunyai pengalaman bekerja untuk terus menimba ilmu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda