Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Kerajaan Bantu KUPEKMAS Jaga Kebajikan Pesara

By 1 Disember 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Laporan /foto oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 1 Dis (Malaysiaaktif) — Dana diberikan oleh kerajaan kepada Kelab Pesara Kerajaan 1 Malaysia (KUPEKMAS) digunakan sepenuhnya bagi menjaga kebajikan kira – kira 10,000 pesara kerajaan yang menjadi ahli kelab tersebut.

Seorang pesara guru Kemahiran Hidup, Anja Yusof layak menerima khairat kematian hari ini selepas kehilangan suami akibat menderita kanser tulang tahap empat.

“Saya tidak menyangka akan menerima khairat kematian ini, namun saya mendapat panggilan untuk hadir pada hari ini bagi mendengar taklimat dan sebagainya memandangkan saya juga merupakan ahli kelab,” kata Anja.

Menurutnya, suaminya Mohd Saleh Mohamed meninggal pada bulan September lalu, selepas 12 hari disahkan menghidap barah tulang oleh doktor hospital swasta, kerana hospital kerajaan tidak dapat mengesan penyakit suaminya yang ketika itu mengalami bengkak di lengan kiri.

“Kami telah 12 kali berulang alik ke hospital dan suami turut ditahan, namun doktor tidak dapat mengesan penyakitnya, hinggalah kami membuat pilihan ke hospital swasta pula,”ujar Anja.

Tambahnya, dua hari selepas suaminya meninggal, pihak kelab datang menziarahi beliau dan meminta dokumen berkaitan dan membantunya menguruskan segalanya hingga beliau layak mendapat khairat pada hari ini.

“Saya berterima kasih kepada KUPEKMAS, sekurang-kurangnya dapat membantu rancangan saya membuat umrah untuk suami, dengan bantuan ini urusan itu akan menjadi lebih mudah,”katanya yang mempunyai empat orang anak.

d2f63047-46fd-4f51-b104-e88c288741a2

“Sudah sampai masa kita hargai mereka dan itulah peranan KUPEKMAS dalam hal ini,” Presiden KUPEKMAS, Dato Omar Osman.

 

Khairat kematian yang bernilai RM1,000 itu diserahkan oleh Presiden KUPEKMAS, Dato Omar Osman dalam Majlis Perjumpaan bersama ahli-ahli kelab yang diadakan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka, disini tadi.

Menurut Omar, ahli kelab KUPEKMAS bagi negeri Melaka sahaja hampir mencapai 800 orang dan mereka menyasarkan jumlah keahlian sehingga 12,000 di seluruh negara menjelang penghujung tahun ini.

“Saya sudah pergi satu Malaysia, dan ada segelintir yang tidak tahu bagaimana hendak menjadi ahli, sekarang ini kita ada lebih 740 ribu orang pesara kerajaan di Malaysia, jadi mereka memang nak KUPEKMAS menjaga sedikit sebanyak kebajikan mereka apabila ada masalah dan sebagainya,”katanya.

Menurutnya, oleh kerana pesara ini pernah berkhidmat dengan negara sebelum ini, banyak menyumbang dan menanggung tugas hingga menjejaskan kesihatan, jadi sudah sampai masa kita hargai mereka dan itulah peranan KUPEKMAS dalam hal ini.

Katanya, dana yang diterima dari kerajaan digunakan untuk menggerakkan kelab supaya ahli dapat merancang aktiviti dan mengumpulkan semula semua pesara.

“KUPEKMAS merupakan satu badan untuk pesara menyalurkan apa sahaja permasalahan, bukan sahaja terhad kepada khairat kematian tetapi termasuklah pembelian kerusi roda, kaki palsu dan juga ubat-ubatan,”kata Omar.

Setakat ini, sebanyak RM200 ribu peruntukan telah dikeluarkan dalam temph dua tahun dan untuk bulan lepas sahaja RM20,000 telah dikeluarkan kerana hampir setiap bulan ada pesara yang meninggal.

“Bayangkan jika tiada kelab ini bagaimana hendak membantu mereka? Kita hendak mereka ini sayangkan negara, sebab itu kita berikan perhatian pada pesara kerajaan dengan memberi bantuan yang mereka perlukan,” katanya.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda